Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Thailand catat 14 kes baharu tanpa kematian

COVID-19: Thailand catat 14 kes baharu tanpa kematian
Hari ini adalah hari ke-47 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan di negara itu dengan tiada kematian dicatat dalam tempoh 24 jam lepas. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand melaporkan 14 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk 12 warganegaranya yang kembali dari Sudan, menjadikan jumlah keseluruhan 3,216 kes dengan 58 kematian.

Hari ini adalah hari ke-47 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan di negara itu dengan tiada kematian dicatat dalam tempoh 24 jam lepas.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), dalam satu kenyataan, berkata daripada 12 warga Thailand yang kembali dari Sudan semalam, 11 adalah pelajar berusia antara 19 hingga 31 tahun dan seorang kanak-anak perempuan berusia sembilan tahun.

Dua lagi pesakit baharu ialah seorang warga Thai berusia 31 tahun yang pulang dari Amerika Syarikat dan seorang warga Thai berusia 42 tahun yang tiba dari Bahrain.
Daripada 3,216 kes COVID-19, sejumlah 3,088 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital sementara 70 yang lain masih dirawat.

"Sejak 3 April sehingga semalam, sejumlah 55,702 warga Thailand kembali dari luar negara dengan 279 ujian adalah positif COVID-19," kata CCSA.

Sementara itu, Thailand akan menubuhkan sebuah pusat untuk membantu merancakkan kembali ekonomi negara yang dilanda pandemik COVID-19.

Timbalan setiausaha agung di Pejabat Perdana Menteri, Kobsak Pootrakool, berkata pusat itu akan berfungsi sama seperti CCSA, yang memberi tumpuan kepada soal kesihatan, tetapi pusat berkenaan akan menangani isu-isu berkaitan ekonomi.

Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan pusat pemulihan ekonomi baharu itu, katanya.

Kobsak berkata kerajaan merancang untuk mewujudkan dana 50 bilion baht (100 baht = RM13.63) untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di negara itu.

-- BERNAMA


Tag: Thailand, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, CCSA, kerajaan, koronavirus, pandemik, COVID-19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.