Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand telah mencatatkan dua kes baharu COVID-19 membabitkan warga asing termasuk seorang pemain bola sepak Serbia berusia 29 tahun yang tiba di negara itu dengan penerbangan sewa khas pada 19 Julai.

Menurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), seorang lagi ialah warga Finland berusia 41 tahun yang tiba dari Denmark pada 27 Julai dan telah menjalani kuarantin wajib di sebuah kemudahan negara di Bangkok.

Memandangkan kedua-dua kes baharu itu membabitkan warga asing, Thailand mengekalkan rekod bersih sifar jangkitan tempatan pada hari ke-68.

Negara itu turut mencatatkan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Setakat ini, Thailand telah mencatatkan sejumlah 3,312 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sejumlah 3,315 orang yang dijangkiti telah pulih dan didiscaj dari hospital manakala 119 masih menerima rawatan.

Sementara itu, penganjur konsert luk-thung (muzik tradisional Thailand) di sebuah pesta amal dalam daerah Cha-uat dalam Nakhon Si Thammarat telah didakwa selepas peminat yang hadir tidak mengendahkan langkah-langkah keselamatan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Cha-uat Kolonel Thien Barnthip berkata penganjur, Paisant Vettayayong telah didakwa melanggar perintah darurat kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Bangkok Post melaporkan bahawa Paisant telah mengaku bersalah dan telah didakwa.

Perintah darurat itu telah melarang perhimpunan besar-besaran bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Mereka yang melanggarnya berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda 40,000 baht.

Foto yang dimuat naik di media sosial menunjukkan konsert Janey Daimodthasodchuen yang penuh sesak di Pesta Amal Palang Merah di daerah Cha-uat pada Sabtu malam telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

-- BERNAMA