Thailand pada Rabu melaporkan sembilan kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah terkini kes di negara itu sebanyak 3,054 kes.

Negara itu turut merekodkan sifar kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CSSA), Taweesin Wisanuyothin, kes baharu membabitkan warganegara yang dikuarantin selepas pulang dari luar negara.

“Pesakit mempunyai sejarah perjalanan dari luar negara termasuk dua dari Amerika Syarikat, satu dari Qatar dan enam kes dari Arab Saudi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika kerajaan negara itu bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan dan membuka kembali lebih banyak perniagaan, tempoh darurat untuk kali kedua pula dilanjutkan hingga 30 Jun.

BACA: COVID-19: Thailand lanjutkan tempoh darurat hingga 30 Jun

Sebelum ini, Thailand mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Untuk rekod, seramai 2,931 pesakit telah sembuh di negara itu manakala angka kematian kekal sebanyak 57 orang setakat ini.