Presiden Donald Trump memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka akan menghadapi tempoh dua minggu yang sukar.

Amaran itu selepas White House menganggarkan kemungkinan 100,000 hingga 240,000 kematian di AS akibat COVID-19 walaupun garis panduan penjarakan sosial dikuatkuasakan.

Pegawai awam kesihatan menegaskan bahawa unjuran angka itu kemungkinan boleh dikurangkan sekiranya rakyat Amerika mengubah tingkah laku mereka dengan mematuhi arahan penjarakan sosial.

Penyelaras Tindakbalas, Pasukan Khas COVID-19 White House, Dr Deborah Birx bagaimanapun berkata pihaknya percaya boleh melakukan lebih baik daripada itu.

"Itu adalah supaya semua rakyat Amerika mengambil serius peranan mereka dalam mencegah penyebaran virus tersebut," jelasnya.

Trump menyeru rakyat AS untuk mengekang penyebaran COVID-19 kerana ia adalah masalah 'hidup dan mati' dan menggesa orang ramai mematuhi garis panduan yang diberikan pentadbirannya.

Beliau meramalkan akan ada jalan penyelesaian berhubung pandemik yang telah membunuh lebih daripada 3,500 rakyat Amerika dan menjangkiti 170,000 orang.

"Saya mahu setiap rakyat Amerika bersedia untuk menghadapi hari-hari sukar.

"Kita akan melalui dua minggu yang sangat sukar," kata Trump.

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit kerajaan, Dr Anthony Fauci berkata unjuran angka itu adalah 'mengecewakan' dan menyeru rakyat Amerika untuk melakukan langkah segera dalam usaha mitigasi mereka.

"Kita akan terus melihat peningkatan angka namun kita tidak boleh hilang semangat disebabkan itu kerana mitigasi sebenarnya berfungsi dan akan berfungsi," katanya.

Dalam pada itu, Birx berkata pada mulanya, mereka meramalkan sekitar 1.5 juta hingga 2.2 juta kematian di AS, namun itu adalah senario terburuk tanpa usaha melambatkan penyebaran COVID-19 melalui penjarakan sosial.

Jelasnya, negeri-negeri masih belum melihat peningkatan kes seperti New York dan boleh mengambil langkah melambatkan penyebaran koronavirus.

"Kita tidak menerima ramalan angka itu; kami mahu melakukan lebih baik daripada itu," jelasnya.

Kenyataan itu hadir selepas Trump pada Ahad berkata akan melanjutkan garis panduan sosial sehingga 30 April dan menggesa rakyat Amerika untuk menghentikan perhimpunan sosial, bekerja dari rumah, menutup sekolah dan banyak lagi usaha untuk mengekang COVID-19.

Trump berkata data itu adalah sangat mengecewakan dan melalui pemahamannya angka 100,000 kematian adalah minimum dan tidak dapat dielakkan.