Wilayah Victoria di Australia terus catat peningkatan tiga digit kes COVID-19 untuk enam hari berturut-turut pada Ahad.

Menurut Ketua Menteri, Daniel Andrews, daripada 273 kes baharu yang dilaporkan itu, seorang lelaki berusia 70-an disahkan maut.

Ia menjadikan angka kematian di Australia meningkat kepada 108 orang, termasuk 24 kes di Victoria yang kini mempunyai jumlah kes sebanyak 3,799.

Peningkatan mendadak itu berlaku selepas 288 jangkitan yang dilaporkan pada Jumaat dan 216 lagi pada Sabtu.

Jelas Andrews, keadaan akan menjadi semakin teruk yang mana akan berlakunya gelombang baharu jika orang ramai masih enggan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Sekiranya kita tidak mengikuti peraturan, jika kita tidak memainkan peranan kita, maka kita akan terus melihat virus ini tersebar.

“Ia akan menjadi gelombang kedua yang lebih panjang, gelombang kedua yang lebih ketara, lebih tragis daripada yang sepatutnya,” tambah Andrews.

Sementara itu, lapan pekerja penjagaan kesihatan di Hospital Alfred Melbourne diuji positif terhadap virus tersebut.

Pihak berkuasa hospital mengatakan lima daripada kes tersebut dipercayai berkaitan dengan jangkitan komuniti.