Mandla Mandela, cucu Nelson Mandela telah membuat pengumuman untuk membuat jemputan aktivis remaja Palestin, Ahed Tamimi ke Afrika Selatan bagi menyertai sambutan hari jadi ke-100 mendiang pejuang anti-Apartheid tersebut.

Jemputan itu juga bagi memberikan anugerah istimewa kepada Tamimi.

Menurut laporan media Afrika, Mandla turut berjanji kepada Tamimi bahawa beliau akan terus menyokong perjuangan warga Palestin dan memboikot barangan Israel di bawah BDS sehingga bumi suci itu bebas dari penaklukan.

Jelas Mandla, Tamimi adalah simbol penentangan Palestin terhadap Israel.
Kebanyakan pemimpin Afrika Selatan, termasuk Presiden Cyril Ramaphosa menentang tindakan Israel yang menghukum remaja tersebut.

Tamimi pernah melawat Afrika Selatan pada 2017 dalam jelajah bersama kumpulan Shamsaan Pals4Peace. Dalam sebuah temuramah sebelum ini, gadis tersebut pernah menyuarakan rasa bangganya terhadap tokoh perjuangan hak asasi manusia seperti Mandela dan Ghandi.

Tambahnya, beliau mahu belajar dari kedua-dua tokoh yang berjaya membebaskan negara mereka dari penjajah tanpa pertumpahan darah.

“Saya tidak mahu menjadi seorang mangsa. Pada saya, askar-askar Israel yang telah melalui proses ‘brainwash’ sehingga minda mereka tidak boleh melihat yang betul dan tidak. Pada saya, kami harus menjadi wanita yang kuat seperti Sayyidah Khadija, isteri Rasulullah Muhammad S.A.W,” katanya.

Ayah Tamimi pernah dipenjara sebanyak sembilan kali, ibunya pula pernah ditahan lima kali, abangnya pernah dipenjara dua kali dan adiknya sekali.

Selepas dibebaskan pada Ahad, Tamimi telah dijemput untuk bertemu dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di pejabatnya di Ramallah.