Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab terhadap insiden letupan bunuh diri pada majlis perkahwinan di Kabul, Afghanistan, pada Ahad.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan menerusi Telegram mendakwa pengebom bunuh diri berjaya menyusup masuk ke kaunter penyambut tetamu sebelum meledakkan bahan letupan di khalayak ramai.

Letupan pada kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan di Dewan Perkahwinan Shahr E-Dubai itu mengorbankan 63 mangsa.

Ia terjadi selepas Washington dan Taliban dalam peringkat akhir perjanjian yang akan menyaksikan pengurangan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nusrat Rahimi berkata antara yang cedera dalam kejadian itu termasuk wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, lebih 1,000 tetamu dijemput ke majlis itu.

Gambar di media sosial menunjukkan beberapa mangsa bergelimpangan di dewan hotel.

Saksi berkata letupan berlaku berhampiran pentas menyebabkan tetamu yang berada di situ termasuk pemain muzik maut.