SEORANG datuk bandar di Amerika Syarikat bertindak mengeluarkan 'kata-kata kesat' kepada penduduk ekoran nasihat yang diberikan tidak diendah ketika negara itu bergelut dengan pandemik COVID-19.

Datuk Bandar Walton di Kentucky, Gabe Brown dipercayai marah dengan tindakan sesetengah penduduk yang dilihat dengan sengaja mengabaikan bahaya penularan jangkitan koronavirus itu di kawasannya.

Brown mengeluarkan kenyataan itu dalam hantaran Facebook di kumpulan kejiranan Boone County, lapor The Independent.

"Dengar sini, ******** dan mereka yang bertimbang rasa.

"Saya mungkin tak beradab, tapi saya peduli apa. Anda perlu sedar yang ini isu yang serius. Malah, ini musibah besar. Duduk sajalah di rumah!"

"Saya berikan anda maklumat bukan untuk cetuskan panik; saya berikan maklumat supaya anda tahu."


Gabe Brown jelas kecewa dengan sikap penduduk Boone County sepertimana diluahkan dalam hantaran ini.

Beliau yang jelas bosan dengan apa yang berlaku di kawasan itu meminta penduduk memahami apa yang dilaluinya setiap hari.

"Saya bosan dengan sidang video COVID-19 sebanyak tiga kali sehari, dengan tambahan satu lagi pada hujung minggu bersama Kenton County.

Namun beliau menitipkan harapan agar penduduk berhenti melakukan perkara yang tidak masuk akal dan mengganggap isu ini sebagai amat serius.

"Musibah ini akan berlalu. Anggap ini perkara serius. Ia sudah berada di sini. Anggap yang anda dijangkiti dan jangan jangkiti orang lain."

"Jika anda tidak endahkan masalah ini, apa yang akan berlaku ialah ibu, bapa, nenek, datuk, mak cik, pak cik anda mungkin mati," tulis Brown.

Beliau mengakiri hantaran itu dengan nasihat (jika mahu mengikutinya) agar penduduk bertanggungjawab.

AS mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes sebanyak 17,119, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 82,404 pada Khamis.

Ia menyaksikan pertambahan 59,089 kes dalam tempoh 24 jam, berbanding 466,955 kes pada Rabu.

Buat pertama kalinya juga, Amerika Syarikat (AS) mengatasi China dan Itali untuk muncul sebagai negara paling ramai kes positif COVID-19.

BACA: Amerika Syarikat kini nombor satu di dunia, dengan lebih 82,000 kes positif COVID-19