Tutup

Berita  | Dunia

Datuk Bandar London pertahan keputusan hentikan Uber

Datuk Bandar London pertahan keputusan hentikan Uber
Khan mengakui keputusan untuk tidak melanjutkan operasi lesen Uber bakal menerima kritikan tetapi tegasnya, tindakan harus diambil demi keselamatan.
LONDON: Datuk Bandar London Sadiq Khan mempertahankan keputusan untuk menghentikan syarikat e-hailing Uber daripada beroperasi di bandar raya metropolitan tersebut.

Khan mengakui keputusan untuk tidak melanjutkan operasi lesen Uber bakal menerima kritikan.

Bagaimanapun, tegasnya, tindakan harus diambil demi keselamatan.

Transport for London (TFL), iaitu pihak berkuasa pengangkutan di bandar raya itu, mengambil keputusan itu dengan menyatakan terdapat beberapa pelanggaran peraturan yang membuatkan penumpang Uber terdedah dengan risiko.
"Apa yang jelas ialah, TFL telah menemui beberapa pelanggaran undang-undang yang serius, kegagalan, yang menyebabkan TFL percaya Uber bukan pengendali yang sesuai.

"Ia termasuk, sekurang-kurangnya 14,000 kes di mana seseorang mungkin menggunakan perkhidmatan Uber, tetapi pemandu yang memandu bukanlah pemandu sebenar yang berdaftar dengan Uber. 

"Pemandu yang tidak sah itu memanipulasi aplikasi Uber untuk mengambil penumpang di sekitar London.

"Kedua, kami tahu bahawa terdapat pemandu yang lesen mereka sudah digantung tetapi mereka masih mengambil penumpang melalui sistem Uber dan sekali lagi menimbulkan isu keselamatan," katanya. 

Khan berkata, pemandu yang tidak dibenarkan memandu masih membawa ribuan penumpang.

Beliau mendakwa Uber sebagai gagal dalam memastikan keselamatan penumpang.

Lesen Uber di London tamat pada Isnin.

Sementara itu, Uber berkata keputusan itu adalah sesuatu yang luar biasa dan salah.

Mereka akan menfailkan rayuan dalam tempoh 21 hari sebagaimana dibenarkan mengikut peraturan.

Susulan itu, ia akan terus beroperasi sepanjang proses rayuan.