KECERENDUNGAN elak pelalian atas alasan tidak berasas kini membawa musibah kepada rakyat Pulau Samoa.

Dalam masa beberapa minggu sahaja, 62 kematian dicatat sejak awal November akibat wabak demam campak yang disifatkan kini sebagai satu epidemik.

Setakat ini, 4,200 kes demam campak sudah dilaporkan sejak beberapa minggu lalu di kepulauan Samoa yang mempunyai 200,000 penduduk.

Wabak tersebut dianggap sudah berada di tahap darurat sehingga khidmat kerajaan akan dihentikan selama dua hari bagi menggerakkan usaha pelalian besar-besaran di pulau yang terletak di Lautan Pasifik Selatan ini.

Satu kenyataan kerajaan menyebut bahawa kesemua kalangan yang maut tidak mengambil suntikan pelalian khusus untuk membina ketahanan melawan demam campak.

Sepanjang operasi dua hari, anggota kerajaan akan bergerak seluruh pulau untuk menjalankan operasi pelalian.

Bati tujuan ini, rakyat Samoa dinasihat supaya tidak keluar dan mereka yang belum menerima pelalian dinasihat melayangkan bendera merah di rumah masing-masing.

Ini bertujuan menarik perhatian pasukan kesihatan untuk singgah ke rumah berkenaan untuk memberi suntikan pelalian.

Setiap suntikan hanya akan mula memberi individu ketahanan untuk dari demam campak dalam masa seminggu atau sepuluh hari.

Samoa mengisytiharkan darurat sejak November dan kesemua rakyatnya kini diwajibkan menerima suntikan pelalian. Kesemua sekolah ditutup dan mereka berumur 17 tahun ke bawah tidak dibenarkan berkumpul di tempat awam.

Ini bertentangan dengan pendirian kumpulan pembantah pelalian (anti-vaxxer) yang bertegas tidak rela disuntik.

Wabak yang sama turut melanda New Zealand, lebih 3,000 kilometer jauhnya di arah selatan. Tetapi, oleh kerana kemudahan dan perhidmatan kesihatan negara Kiwi jauh lebih baik, wabak campak tidak menyebabkan kematian.