BAHANG pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) semakin terasa apabila Parti Demokrat memulakan Konvensyen Kebangsaan (DNC) 2020.

Bagaimanapun, disebabkan COVID-19, konvensyen selama empat hari itu diadakan secara maya.

DNC 2020 secara rasmi akan mengesahkan pencalonan Joe Biden sebagai wakil Demokrat untuk menyaingi Donald Trump, wakil Republikan, menduduki White House bagi sehingga 2024.

Regu Biden ialah Kamala Harris dan jika menang, beliau akan menjadi wanita pertama di Amerika Syarikat menjadi naib presiden.

DNC 2020 menjadi permulaan kepada kempen yang panjang untuk Demokrat menewaskan Republikan bagi jawatan nombor satu di Amerika Syarikat.

Pilihan Raya Presiden akan berlangsung 3 November ini.

Berbanding sebelumnya, kempen pilihan raya calon Demokrat dan Republikan tidak akan dihiasi bunyi sorakan penyokong yang ramai di pentas rapat umum dan ucapan.

Sebaliknya semua kempen dan ceramah diadakan secara dalam talian disebabkan COVID-19.

Para pemerhati melihat, dengan pelbagai isu dikaitkan dengan Trump, Biden kini berada di landasan yang baik untuk mendahului dalam kiraan sokongan undi.