Jepun terkenal dengan perkhidmatan trennya yang laju dan efisien.

Kereta api laju yang lebih dikenali sebagai shinkansen ini mampu bergerak 320 kilometer sejam (km/j) namun masih mengekalkan keselamatan dan memastikan ketepatan masa penumpangnya.

Bagaimanapun apa yang berlaku pada Rabu mengundang misteri kepada pengendali perkhidmatan itu.

Sebuah kereta api laju dari Sendai ke Tokyo dilapor bergerak dengan satu pintunya terbuka sepenuhnya, pada kelajuan 280km/j.

Walaupun kejadian dikatakan berlaku hanya sekitar 4km selama 40 saat, namun ia mengundang bahaya kepada penumpang yang berada dekat dengan pintu berkenaan.

Pengendali tren East Japan Railway (JR East) dalam satu kenyataan berkata tiada penumpang cedera dalam kejadian yang jarang-jarang sekali berlaku di negara Matahari Terbit itu.

Siasatan awal mendapati seorang tukang cuci terlupa untuk menutup peranti yang mengawal pintu tren.

Tren yang membawa sekitar 340 penumpang itu selamat sampai ke destinasi 19 minit kemudian.

Insiden itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan shinkansen selama hampir 28 minit dengan kira-kira 3,300 penumpang terjejas.