Malang tidak berbau.

Demikian gambaran yang menimpa seorang wanita apabila berdepan detik mengejutkan selepas dia diragut dua kali dalam tempoh selang beberapa saat.

Dalam kejadian pada 28 Mei lalu, mangsa Ban Muy Heang sedang melintas jalan bersama rakannya di Phnom Penh, Kemboja.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat berhenti di tengah jalan bagi memberi laluan kepada pengguna jalan raya.

Tanpa disangka, seorang lelaki yang membonceng motosikal dilihat dengan pantas meragut telefon bimbit wanita itu, sebelum mangsa kelihatan tergamam.

Tidak sempat berbuat apa-apa, suspek kedua yang turut membonceng motosikal pula menyentak beg tangan wanita itu beberapa saat selepas kejadian pertama.

Susulan kejadian tersebut, polis berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 17 dan 20 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bandar Phnom Penh.

Pada 9 Julai lalu, mereka mengaku meragut wanita berkenaan serta terlibat dalam dua lagi kes rompakan lain.