Pertempuran dilaporkan berlaku antara polis dan sekumpulan individu bersenjata di sebuah restoran yang terletak di zon diplomatik Dhaka, ibu negara Bangladesh pada malam Jumaat, dengan kemungkinan ada orang awam dijadikan tebusan.

“Sekumpulan individu masih di dalam tetapi kami tidak dapat mengesahkan samada mereka adalah tebusan yang ditahan penyerang bersenjata,” kata pegawai polis Gulshan, Sayedur Rahman kepada AFP.

Laporan Reuters pula memetik ketua skuad polis khas Bangladesh mengatakan beberapa individu warga asing dipercayai antara mereka yang mungkin telah dijadikan tebusan.

Benazir Ahmed memberitahu media, polis sedang berusaha untuk memastikan keselamatan orang awam terbabit.

Menurut laporan stesen TV swasta Channel 24, dua pegawai polis cedera parah di dalam pertempuran.

Portal Daily Star pula melaporkan sehingga lima individu bersenjata memasuki restoran Holey Artisan Bakery di Jalan 79, kawasan elit di Gulshan pada 9:20 malam waktu tempatan (1320 GMT).

Insiden berlaku berhampiran Nordic Club, di mana kebanyakan golongan ekspatriat berkumpul, dan juga kedutaan Qatar.

Siri pembunuhan mensasarkan penganut agama minoriti dan aktivis sekular berlaku di Bangladesh kebelakangan ini.

Pada awal pagi Jumaat, seorang pekerja di sebuah kuil Hindu dilaporkan dibunuh dengan kejam di wilayah barat Bangladesh.