Pejabat pendakwa raya khas Korea Selatan pada Selasa memberitahu, pihaknya belum membuat keputusan sama ada mahu memohon waran tangkap ke atas dua eksekutif Kumpulan Samsung, sebagai sebahagian daripada siasatan menyeluruh dalam kes skandal politik Presiden Park Geun-hye.

Terdahulu, agensi berita Yonhap melaporkan tentang pihak pendakwa yang mahu menangkap dua eksekutif Samsung, namun tidak mendedahkan nama.

Bagaimanapun, pejabat pendakwa raya memberitahu Reuters bahawa dua individu, Naib Pengerusi Kumpulan Samsung, Choi Gee-sung dan Presidennya, Chang Choong-ki, telah dipanggil untuk diambil keterangan pada Isnin sebagai saksi.

Kedua-duanya disoal siasat mengenai dakwaan sama ada konglomerat tertinggi negara itu memberi rasuah ke dalam dana persaraan kebangsaan bagi meluluskan langkah penggabungan kontroversi dua firma Samsung.

Jurucakap Kumpulan Samsung bagaimanapun enggan memberi ulasan.

Presiden Park berkemungkinan menjadi pemimpin pertama dilantik secara demokrasi yang terpaksa meninggalkan jawatan lebih awal selepas Parlimen mengundi agar siasatan ke atasnya dilaksanakan berikutan dakwaan skandal rasuah.