Tutup

Berita  | Dunia

Dua lagi bangkai dugong dijumpai, aktivis hidupan liar Thailand semakin resah

Dua lagi bangkai dugong dijumpai, aktivis hidupan liar Thailand semakin resah
Keadaan bangkai dugong yang ditemui di Krabi pada Ahad. - Foto: Jabatan Konservasi Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan Thailand
KRABI: Penemuan bangkai dua ekor dugong di Thailand pada Ahad, masing-masing di Krabi dan Trang, meresahkan banyak pihak terutamanya kumpulan pencinta haiwan dan konservasi hidupan liar.

Portal berita Bangkok Post yang memetik kata Pengarah Pusat Biologi Marin Phuket, Kongkiat Kittiwatanawong melaporkan, kes terbaru itu menjadikan jumlah kematian mamalia marin itu sejumlah lima ekor dalam tempoh empat bulan.
Di Krabi, bangkai dugong itu ditemui di perairan antara Koh Pu dan Koh Phi Phi, sementara seekor lagi ditemui terdampar di pantai Hat Samran, Trang.

Dugong yang mati di Krabi itu adalah dugong jantan sepanjang 2.3 meter dan seberat 400 kilogram, ujar Ketua Taman Negara Hat Nopharat Woraphot Lomlin.
Bangkainya telah dibawa ke Universiti Teknologi Rajamangala untuk proses bedah siasat, dan antara lain menyenaraikan kemungkinan kematian akibat faktor pencerobohan habitat dan pencemaran alam sekitar.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perikanan di Universiti Kasetsart, Thon Thamrongnawasawat berkata, ada kemungkinan dugong-dugong itu diburu untuk diambil giginya bagi dijadikan tangkal azimat.

Sebelum ini, kisah dua ekor anak dugong yang berjaya diselamatkan, Mariam dan Yamil, telah menarik perhatian ramai.

Kedua-dua anak dugong itu kini dalam jagaan Jabatan Sumber Marin dan Pantai negara itu.



Tag: dugong, mamalia marin, bangkai dugong, thailand, pemburuan haram, jabatan laut, taman negara laut



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.