Dua lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan hingga mencederakan seorang pengawal keselamatan di lokasi peraduan melukis karikatur Nabi Muhammad di Dallas, Amerika Syarikat telah ditembak mati oleh polis pada Ahad.

Jurucakap polis Joe Harn memberitahu bahawa insiden itu terjadi pada jam 7 malam di luar bangunan Curtis Culwell Center, Garland.

Dua lelaki tersebut memberhentikan kereta yang mereka naiki di depan pusat tersebut dan mula melepaskan tembakan ke arah seorang pegawai keselamatan yang sedang bertugas.

Pihak polis telah membalas tembakan terhadap dua lelaki berkenaan dan kedua-duanya mati di tempat kejadian.

Harn memberitahu kepada Washington Post bahawa kedua-dua mayat lelaki berkenaan dilihat bergelimpangan di atas jalan raya.

Pengawal keselmatan berusia 58 tahun itu telah dikejarkan ke hospital kerana kecederaan di pergelangan kaki dan sudahpun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Pasukan pemusnah bom turut digegaskan ke tempat kejadian bagi memeriksa sama ada terdapat bahan letupan dalam kenderaan yang dinaiki dua lelaki berkenaan.

Peraduan melukis karikatur Nabi Muhammad itu dianjurkan oleh pertubuhan kontroversi berpangkalan di New York, American Freedom Defense Initiative (AFDI).

Penganjuran yang bersifat provokatif itu menawarkan ganjaran bernilai AS$10,000 bagi karikatur terbaik yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Acara tersebut telah dirasmikan ahli politik Belanda, Geert Wilders, yang sering bercakap mengenai Islam radikal.

Sementara itu, Presiden AFDI yang juga orang kuat gerakan Stop Islamization of America Pamela Geller berkata tujuan acara tersebut dilangsungkan adalah bagi menegaskan tentang konsep kebebasan bersuara.

“Kejadian tembak-menembak ini memang disasarkan pada kami, malah penyokong militant Negara Islam (IS) juga dilihat memuji dua lelaki bersenjata itu,” ujarnya.

Insiden terbaru itu menimbulkan kebimbangan ke atas banyak kumpulan Islamik yang menyifatkannya sebagai serangan berterusan terhaap agama Islam.