Sekurang-kurangnya dua orang maut termasuk seorang penyerang dalam insiden tembakan rambang di sebuah gereja berhampiran Fort Worth, di sini, pada Ahad.

Menurut pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Dallas, Matthew Desarno, suspek yang bersenjata api menembak ahli jemaah gereja, mengakibatkan seorang maut sementara seorang lagi cedera parah.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi waktu tempatan itu, suspek kemudiannya ditembak semasa insiden berbalas tembakan dengan ahli jemaah sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang mangsa tembakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berdekatan.

Ketua Jabatan Polis White Settlement JP Bevering berkata, penyerang ditembak oleh dua ahli jemaah yang berada di gereja.

"Ancaman berjaya dikawal selepas tindakan berani dua orang ahli jemaah (melakukan tembakan balas) di gereja," katanya menurut Reuters.

Difahamkan, pihak berkuasa sudah mendedahkan butiran kejadian termasuk identiti mangsa, penyerang dan punca serangan.

Setakat ini, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai pengawal keselamatan gereja.

Dalam pada itu, sebuah stesen televisyen WFAA yang berpangkalan di Dallas melaporkan, pihak gereja itu telah menyiarkan satu rakaman di YouTube membabitkan insiden tembakan tersebut.

Menurut laporan itu, video tersebut memaparkan seorang lelaki berjubah yang telah melepaskan dua das tembakan sebelum dia ditembak dari arah belakang.