Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Dua minggu terabai, ratusan haiwan peliharaan di Pakistan mati kelaparan

Dua minggu terabai, ratusan haiwan peliharaan di Pakistan mati kelaparan
Ratusan kucing, anjing dan arnab ditemui mati di sebuah pasar haiwan peliharaan di Pakistan selepas kerajaan mengeluarkan perintah berkurung sekali gus memaksa menghentikan operasi aktiviti perniagaan. - Gambar hiasan
KARACHI: Akibat terabai dalam tempoh yang terlalu lama, ratusan kucing, anjing dan arnab ditemui mati di sebuah pasar haiwan peliharaan di Pakistan selepas kerajaan negara itu mengeluarkan arahan perintah berkurung sekali gus memaksa menghentikan operasi aktiviti perniagaan.

Bagaimanapun, haiwan yang masih hidup di Pasar Empress yang terletak di Karachi itu berjaya diselamatkan selepas aktivis dan pencinta haiwan merayu kepada pihak berkuasa untuk menyelamatkan haiwan-haiwan berkenaan.
Sepanjang arahan perintah berkurung selama dua minggu itu, Ayesha Chundrigar mengakui dirinya mendengar 'teriakan' daripada kira-kira 1,000 ekor haiwan tersebut dari luar kedai.

“Ketika kami masuk, kira-kira 70 peratus daripada semua haiwan itu sudah mati manakala banyak bangkai ditemui bergelimpangan atas tanah. Ia sangat mengerikan dan sukar untuk saya mengungkapkannya," lapor Chundrigar kepada AFP.
Tambahnya, haiwan berkenaan ditinggalkan dalam keadaan kelaparan dan terkunci dalam sangkar tanpa cahaya atau pengudaraan yang baik, manakala haiwan yang masih hidup bergerak di antara bangkai yang lain.

Pakistan yang menjalani perintah berkurung susulan kes pandemik COVID-19 yang kian merebak, telah memaksa banyak kedai menghentikan operasi kecuali beberapa premis perniagaan yang menjual keperluan makanan dan ubat-ubatan.

Untuk itu, pemilik kedai haiwan tidak dapat berbuat apa-apa malah tidak dibenarkan untuk memberi makan kepada haiwan mereka.

Selepas melakukan misi menyelamat, Chundrigar kini meyakinkan pihak berkuasa Karachi untuk membenarkan pemilik kedai haiwan peliharaan beroperasi supaya pasukannya mendapat akses harian terhadap penjagaan haiwan itu.

Manakala di bandar timur Lahore, sebanyak 20 bangkai anjing ditemui bergelimpangan dalam pembetung berhampiran pusat untuk perniagaan haiwan iaitu Tollinton Market.

Kiran Maheen menyelamatkan lebih daripada 24 anjing, arnab dan kucing selepas meyakinkan pegawai bertugas di pasar untuk membenarkannya masuk.

“Apabila polis membuka pintu, banyak haiwan sudah mati di dalamnya,” kata Maheen kepada AFP, sambil menambah banyak yang mati lemas akibat kekurangan udara.

Pihak berkuasa Pakistan pada Selasa mengesahkan negara yang berpopulasi 215 juta penduduk itu, mempunyai kira-kira 2,900 kes COVID-19 dengan 45 kematian.


Tag: Pakistan, perintah berkurung, haiwan peliharaan, lemas, mati, koronavirus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.