Satu gempa bumi kuat dan beberapa gempa susulan menggegarkan New Zealand pada awal Isnin, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang mati dan mencetuskan amaran tsunami yang menyebabkan ribuan orang melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

Pasukan tindakan kecemasan telah dihantar dengan helikopter ke kawasan yang terdedah kepada gempa bumi 7.8 magnitud itu, kira-kira 91 km ke utara-timur laut Christchurch di South Island, berikutan kes kecederaan dan bangunan runtuh dilaporkan.

Perdana Menteri John Key memberitahu satu sidang akhbar di Wellington, yang turut merasai getaran kuat, bahawa dua orang telah terbunuh.

Polis berkata, seorang daripada mangsa ditemui di sebuah rumah di bandar pelancongan pesisiran pantai Kaikoura.

"Sepanjang ingatan saya, ia merupakan kejadian gempa yang paling buruk di Wellington," kata Key kepada pemberita, walaupun beliau tidak mengisytiharkan keadaan darurat.

"Ia akan mengakibatkan wujud kos yang agak tinggi melibatkan jalan raya dan infrastruktur."

Bekalan elektrik dan talian telefon terputus di banyak kawasan, manakala jalan-jalan tersekat akibat tanah runtuh.


Bagaimanapun, amaran tsunami awal yang dikeluarkan kemudiannya diturunkan selepas kesan gempa bumi teruk turut dirasai di Wellington, di North Island, dan Christchurch, bandar terbesar di South Island.

Gegaran pertama melanda negara kepulauan Pasifik itu beberapa minit selepas 12 tengah malam, mengejutkan ramai yang sedang tidur dan membangkitkan kenangan mereka terhadap gempa dengan 6.3 magnitud yang melanda Christchurch pada 2011, mengorbankan 185 orang.

Geonet New Zealand mengukur gempa pada Isnin itu pada magnitud 7.5, manakala Kajian Geologi Amerika Syarikat mencatatkan bacaan 7.8.