TEMPOH masa selama empat hingga lima tahun diperlukan dalam usaha dunia mengawal COVID-19 dengan efektif, menurut Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Soumya Swaminathan berkata, terdapat pelbagai faktor yang akan menentukan berapa lama dan sejauh mana virus itu akan kekal sebagai ancaman, termasuk sama ada ia akan bermutasi atau tidak.

“Saya boleh katakan dalam tempoh masa empat ke lima tahun, mungkin kita dapat mengawal pandemik ini,” katanya sambil memberi amaran bahawa pandemik ini mungkin akan bertambah buruk ketika bercakap dalam persidangan digital Global Boardrooms anjuran Financial Times, pada Rabu.

Ujar beliau, vaksin merupakan cara terbaik untuk mengatasinya, namun masih banyak lagi ketidaktentuan mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin itu, serta penghasilan dan pengedaran yang sama rata.

Tambahnya, vaksin juga boleh hilang keberkesanannya sekiranya virus itu bermutasi.

Profesor Kesihatan Global di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Peter Piot, turut bersetuju bahawa pengawalan virus akan bergantung kepada pembangunan vaksin yang efektif.

Namun, beliau memberi amaran bahawa penghapusan virus itu secara berkesan akan memerlukan lebih banyak usaha dan kaedah.

“Hanya cacar air (smallpox) yang dapat dihapuskan dan dibasmikan sebagai penyakit,” kata Piot yang turut dijangkiti COVID-19 dan dalam fasa pemulihan.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh hanya memikirkan strategi jangka pendek untuk bulan-bulan akan datang sahaja, sebaliknya dalam jangka masa panjang.

Ujarnya, apabila dunia masuk ke fasa seterusnya dalam mendepani pandemik ini, tiada lagi pilihan selain untuk melabur lebih banyak dalam menjalankan ujian.