Taikun fesyen Jepun Yusaku Maezawa berhasrat menghadiahkan wang berjumlah AS$9 juta kepada pengikutnya di Twitter dalam satu eksperimen sosial untuk melihat sama ada wang boleh meningkatkan kebahagiaan.

Maezawa akan memberikan 1 juta Yen (AS$9,000 atau RM37,500) kepada 1,000 pengikut yang dipilih secara rawak, dan dipilih daripada mereka yang mengulang kicau hantarannya pada 1 Januari.

Reuters melaporkan, impak pemberian wang itu akan dipantau secara berkala oleh pasukannya.

“Ini eksperimen sosial yang serius,” ujar Maezawa di YouTube, sambil berharap tindakannya itu mendapat perhatian para akademik dan ekonomi.

Maezawa, yang menjadi penumpang pertama untuk terbang mengelilingi bulan dengan pesawat angkasa lepas SpaceX milik Elon Musk, terkenal dengan tabiat berbelanja yang mewah ke atas karya seni dan kereta sport, namun mempunyai idea aneh seperti membayangkan dunia tanpa wang.

Pemberian wang kepada pengikut Twitter itu adalah berdasarkan nilai pendapatan asas, tanpa syarat dan telah mendapat perhatian golongan politik termasuk calon presiden Demokratik AS, Andrew Yang.

Maezawa berkata, oleh kerana dia ‘memiliki kekayaan dan banyak waktu senggang’ untuk menghadiahkan wang itu, dia merasakan mahu mencuba sesuatu yang mungkin mencetus debat dan perubahan di Jepun.

Idea mengenai pendapatan asas universal telah menerima sokongan, lebih-lebih lagi dengan kebimbangan terhadap perkembangan teknologi yang mampu mengambil alih pekerjaan manusia sepenuhnya.

Maezawa, yang baru-baru ini menjadi tajuk berita kerana berpisah dengan teman wanitanya, aktres Ayame Goriki, mempunyai kira-kira 7 juta pengikut di Twitter.

Ramai yang tertarik dengan coretannya tentang pelbagai pengisian rutin harian dan falsafah kehidupannya.

YouTube adalah cabang terbaharu dalam talian bagi usahawan itu, dengan kandungan video dia menaiki jet peribadinya, kunjungan ke kedai gunting rambut, dan mengemas kini buku banknya.