KETIKA ramai individu menjalani kuarantin susulan wabank COVID-19 di lokasi terkawal termasuk di pusat disediakan kerajaan, sebaliknya berlaku kepada enam pelancong asing apabila ditemui bersembunyi di sebuah gua di daerah Rishikes, ke utara India.

Menurut jurucakap polis negeri Uttarakhand, Mukesh Chand kesemua pelancong tersebut dipercayai sudah hampir sebulan menjadikan lokasi tersebut sebagai 'pusat kuarantin' mereka.

Katanya, mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita dari Perancis, Turki, Ukraine, Amerika Syarikat dan Nepal sebelum ini menginap di sebuah hotel, namun kehabisan wang dan terpaksa berlindung di gua tersebut.

“Mereka tinggal di gua tersebut sejak 24 Mac lalu dan polis menemui mereka pada Ahad. Mereka kemudian dipindahkan ke Swarg Ashram dekat Rishikesh.

“Kami telah mengarahkan mereka menjalani kuarantin selama dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga. Namun, kumpulan tersebut kelihatan sihat,” katanya seperti dilaporkan CNN.

Jelas Mukesh, kumpulan pelancong tersebut hanya menggunakan baki wang yang ada untuk membeli makanan dan barangan keperluan.

Terdahulu, kerajaan India melanjutkan perintah berkurung dari 14 April kepada 3 Mei.

Pihak berkuasa India turut melancarkan laman web “Terkandas di India”bagi menghulurkan bantuan kepada warga asing yang terkandas di negara itu sepanjang tempoh perintah berkurung.

Setakat ini, India mencatatkan 17,615 kes COVID-19 dengan 559 kematian.