MINGGU lepas dikenali dengan nama Golden Week oleh masyarakat Jepun. Ia adalah minggu yang amat dinantikan oleh ramai penduduk Jepun selain daripada tahun baharu yang disambut besar-besaran oleh penduduk negara matahari terbit itu.

Pada minggu akhir bulan April hingga awal bulan Mei, terdapat beberapa hari cuti umum dengan kebanyakan syarikat atau badan kerajaan Jepun akan bercuti panjang.

Cuti umum bermula pada 29 April iaitu hari Showa, hari memperingati tamatnya era Showa di bawah pemerintahan Maharaja Haruhito.

Ia diikuti dengan 3 Mei iaitu hari memperingati penubuhan konstitusi perlembagaan negara Jepun.

Tarikh 4 Mei pula adalah Green Day atau midori no hi iaitu hari memperingati alam semulajadi dan 5 Mei adalah hari kanak-kanak.

Namun Golden Week pada tahun 2019 mencatat sejarah besar buat Jepun kerana dalam tempoh ini, berakhirnya era Heisei di bawah pemerintahan Maharaja Akihito dan terlakar sejarah baru dengan pertabalan Putera Mahkota Naruhito sebagai Maharaja era baru iaitu Reiwa.

Kerajaan Jepun telah menambah dua hari cuti peristiwa iaitu pada 1 dan 2 Mei bagi memberi laluan kepada majlis bersejarah ini.

Buat pertama kali dalam sejarah Jepun, pertabalan maharaja menjadi acara utama dengan sambutan gilang gemilang kerana tiada perintah berkabung setelah kemangkatan seseorang raja seperti amalan sebelum ini.

Jepun masih mengamalkan sistem beraja dan mengekalkan penggunaan tahun pemerintahan mengikut maharaja dalam pelbagai urusan rasmi di dalam kerajaan, syarikat dan juga badan-badan berkaitan.

Pemerintahan beraja di Jepun telah bermula hampir 2000 tahun yang lalu dan Maharaja Naruhito adalah merupakan Maharaja Jepun yang ke 126 daripada keturunannya.

Secara am generasi rakyat Jepun hari ini lahir daripada generasi Maharaja Haruhito (era Showa) dan Maharaja Akihito (era Heisei).

Jepun merupakan kuasa besar dalam perang dunia kedua ketika di era Showa dan telah menguasai hampir seluruh rantau Asia di bawah pemerintahan Maharaja Haruhito yang baru berusia 15 tahun pada ketika itu.

Beliau telah ditabalkan sebagai Maharaja Jepun setelah kemangkatan ayahnya pada tahun 1926.

Kekalahan teruk dalam perang dengan letusan bom atom yang membunuh hampir dua ratus ribu penduduk Jepun, adalah antara faktor seorang maharaja tiada sebarang kuasa dan mesti bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik termaktub di dalam konstitusi perlembagaan negara Jepun yang kita lihat hari ini.

Maharaja tidak lagi mempunyai kuasa dalam tadbir urus negara. Walaubagaimanapun masih terdapat golongan penyokong kuat institusi raja di Jepun menjadikan kedudukan maharaja masih signifikan dan relevan dalam masyarakat moden Jepun.

Maharaja berfungsi sebagai simbol penyatuan rakyat Jepun dan kedudukan mereka di dalam masyarakat hanya dapat dilihat dari jauh melalui media dan hari-hari perayaan tertentu masyarakat Jepun.

Sebagai indoktrinasi institusi beraja di Jepun, salah satu yang dapat dilihat dengan jelas adalah penggunaan tahun era pemerintahan maharaja dalam setiap urusan rasmi negara tersebut.

Hal ini dapat dilihat berakar umbi dalam kehidupan masyarakat di Jepun dalam setiap lapisan akitivi kehidupan harian mereka.

Walaubagaimanapun, imej dan persepsi terhadapat institusi beraja di Jepun mula mengalami perubahan semasa Maharaja Akihito mula memerintah.

Era pemerintahan beliau dikenali dengan nama Heisei yang membawa maksud ‘mencapai keamanan’ (1989-2019).

Jepun mengambil inisiatif positif menerajui keamanan melalui pelbagai aspek termasuklah pendidikan dan mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.

Hal ini dapat direalisasikan oleh Maharaja Akihito kerana beliau merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat.

Beliau dibesarkan dalam suasana yang berbeza berbanding maharaja sebelum ini dan suka bergaul dengan orang awam dan mempunyai jiwa yang peka tentang kehidupan rakyat jelata.

Maharaja Akihito telah berkahwin dengan Maharani Michiko yang juga berasal daripada orang awam. Maharani Michiko merupakan wanita pertama daripada orang awam yang ditabalkan sebagai Puteri Mahkota.

Beliau mendapat tempat di hati rakyat dan mempunyai keperibadian yang sangat disayangi dan disanjungi oleh rakyat jelata.

Jiwa rakyat dalam kedua Maharaja Akihito dan Maharani Michiko dapat dilihat apabila mereka sangat aktif turun memberikan sokongan kepada rakyat ketika Jepun dilanda bencana alam.

Beliau sangat menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan sangat prihatin dengan penderitaan mangsa bencana alam.

Dalam satu episod lawatan beliau ke tapak bencana ketika Jepun dilanda tsunami pada 2011, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko tidak segan duduk bersila di lantai bersama mangsa bencana dan makan daripada makanan yang disediakan rumah perlindungan sementara.

Perkara ini sangat unik dan tidak pernah berlaku sepanjang pemerintahan maharaja lain di Jepun, kerana menurut kepercayaan agama Buddha maharaja adalah daripada keturunan dewa dewi.

Akhlak dan budi pekerti yang ditonjolkan oleh Maharaja Akihito dan keluarga beliau telah menjadikan pengaruh raja di dalam masyarakat Jepun semakin mengukuh.

Peristiwa turun takhta sebelum kemangkatan seseorang raja adalah merupakan perubahan yang sangat besar dalam sistem pemerintahan beraja dan politik di Jepun.

Ia memerlukan perubahan konstitusi perlembagaan negara kerana menurut perlembagaan peralihan takhta ini hanya akan berlaku sekiranya raja yang memerintah mangkat.

Walaubagaimanapun, pertabalan Maharaja Naruhito ketika ayahnya Maharaja Akihito masih hidup telah mencorak sejarah baru dalam dunia pemerintahan Jepun.

Ia terhasil daripada sifat Maharaja Akihito yang sentiasa prihatin tentang kebajikan rakyat negaranya dan kekhuatiran beliau tidak mampu melaksanakan tugas-tugas rasmi yang diperlukan atas faktor kesihatan yang semakin merosot.

Berusia 85 tahun pada masa ini, beliau mahukan supaya institusi raja terus dekat di hati rakyat, dan berharap Putera Mahkota Naruhito (Maharaja Naruhito) dapat meneruskan legasi dengan era baru Reiwa.

Reiwa membawa maksud simbolik kepada keamanan dan kesejahteraan negara Jepun yang akan diukir oleh setiap warga rakyat Jepun.

Walaubagaimanapun, Maharaja Naruhito pada ketika ini masih belum mempunyai pewaris takhtak lelaki daripada keturunannya dan menjadi isu perbincangan hangat di negara Jepun.

Adakah Jepun akan mengubah konstitusi perlembagaannya sekali lagi dengan pertabalan anak perempuan Maharaja Naruhito iaitu Puteri Aiko sebagai pewaris takhta seterusnya ataupun kepada adik lelaki beliau iaitu Putera Mahkota Fumihito.

Selaku rakyat Malaysia yang banyak belajar dan menimba pengalaman di negara mata hari terbit ini, walau apa jua pergolakan yang berlaku dalam institusi raja di Jepun, adalah menjadi hasrat penulis untuk melihat negara Jepun terus maju dan makmur di bawah pemerintahan Maharaja Naruhito.


Dr Zoraida Mustafa ialah Pengarah Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.