ISIS atau juga dikenali sebagai DAESH adalah satu nama bagi gerakan terroris yang mendepani abad ini. Kemunculan ISIS adalah menggantikan Al-Qaeda yang mulai melemah selepas kematian Osama Laden dan penubuhan kerajaan proksi Afghanistan pimpinan Hamid Karzai dan Ashraf Ghani.

ISIS muncul sekitar 2013 dan menjadi sangat kuat dalam masa yang singkat serta berjaya menarik ribuan pejuang jihad untuk bersama-sama menubuhkan ‘Daulah Islamiyyah’ yang berpusat di Syria dan Iraq. Walaupun kelihatan ISIS sudah kalah di kubu kuat mereka, akan tetapi siri-siri serangan dan propaganda ISIS terus kekal dan berkembang. Akan tetapi ada beberapa fakta menarik yang seharusnya diketahui umum tentang ISIS yang telah berjaya memainkan isu agama untuk mencapai agenda tersembunyi mereka.

Perkara utama yang seharusnya kita fahami ialah ISIS mempunyai sistem pemerintahan sendiri. Sistem negara dan berportfolio. ISIS berjaya menjadikan Syria dan Iraq sebagai negara mereka sendiri atau yang disebut juga sebagai ‘Daulah Islamiyyah’.

Semua penduduk yang tinggal di Syria dan Iraq yang ditawan oleh ISIS dianggap sebagai rakyat mereka. Penduduk yang tinggal dalam negara ini dikehendaki mematuhi undang-undang yang ditetapkan, termasuklah pemakaian burqa atau cadur hitam bagi wanita, menyimpan janggut dan berpakaian pejuang gerila bagi lelaki, sekatan terhadap akses telefon dan televisyen, tidak ada makanan segera barat, catuan air dan lain-lain lagi.

ISIS mempunyai ‘Khalifah’ iaitu Abu Bakar al-Baghdadi dan 12 menteri kabinet yang dilantik secara ‘mesyuarah’ atau persetujuan bersama. 12 kementerian ini termasuklah kebajikan, agama, pertahanan, undang, keselamatan, media dan lain-lain. Sistem pemerintahan ini juga mempunyai bala tentera yang diberi ranking dan dibayar gaji, manakala penduduk pula perlu membayar cukai perlindungan serta membeli keperluan dengan pihak kerajaan.

Perkara kedua adalah berkaitan perekrutan. ISIS mempunyai kekuatan merekrut ahli-ahli baru yang kebanyakannya dilakukan melalui media sosial. Ribuan mangsa telah dibasuh-minda mereka untuk menyetujui perjuangan ISIS dan sanggup datang ke Iraq dan Syria untuk melaksanakan tuntutan jihad. Malah yang mengejutkan adalah tidak kurang 20,000 ‘mualaf’ telah berjaya direkrut oleh ISIS hingga mereka sanggup menggadaikan nyawa dengan menjadi pengebom berani mati di mana-mana sahaja. Malah, media sosial menjadikan ISIS mempunyai akses kepada setiap individu di dunia ini tanpa apa-apa sekatan.

Kemunculan pejuang solo atau ‘lone-wolf’ sudah menjadi lumrah akibat sekatan oleh sesebuah kerajaan. Maka jalan mudahnya adalah melalui media sosial seperti facebook, twitter, istagram, telegram dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah hingga ada pelajar wanita dari UKM yang berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Turki kerana cuba masuk ke Syria, telah direkrut melalui media sosial.

Fakta ketiga adalah penyebaran propaganda ISIS yang berlaku secara besar-besaran. ISIS mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk mengoptimumkan penggunaan media massa dengan sebaiknya. Video penyembelihan wartawan John Foley dan pembakaran hidup-hidup juruterbang Jordan yang ditawan adalah merupakan titik penting penyebaran propaganda ISIS. Sejak peristiwa tersebut, siri-siri pendedahan kekejaman telah dimuat naik di youtube dan lain-lain medium berkaitan. Kekejaman yang ditunjukkan sudah menjadi perkara lumrah dan asas dalam perjuangan ISIS. Ianya bukan menakutkan pengikut ISIS, akan tetapi menjadikan mereka lebih bersemangat untuk menghantar mesej kepada musuh-musuh Islam.

ISIS berjaya melahirkan satu persepsi negatif tentang Islam hingga dibenci dan didendami serta melahirkan ‘Islamophobia’ yag serius di Barat. Malah ISIS juga berjaya menghasilkan buletin propaganda mereka seperti ‘Dabiq’ dan ‘Haqiqat’ yang secara terang dan jelas menyokong perlakuan kejam dan tak berperikemanusiaan mereka.

Sumber kekayaan atau kewangan adalah perkara pokok. Semua pihak yang bekerja untuk ISIS diberikan gaji mengikut kepakaran dan ranking pekerjaan mereka. ISIS memerlukan dana yang banyak dan besar serta lestari bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan mereka. Bagaimana ISIS memperolehi dana ini? Ianya diperolehi dari beberapa sumber, pertamanya adalah dari rompakan bank. Dalam masa 3 hari sahaja, ISIS berjaya menguasai separuh Iraq dan sebahagian Syria. Hasil wang, emas dan lain-lain yang dimiliki oleh bank-bank di Iraq dan Syria menjadi milik ISIS.

Statistik menunjukkan ISIS memperolehi tidak kurang USD425bilion dalam tempoh kurang satu minggu. Sumber kedua adalah menguasai telaga-telaga minyak di Mosul, Tikrit dan lain-lain lagi. Malah ISIS juga menjual minyak tersebut di pasaran gelap yang menjadikan mereka sangat berkuasa. Sumber ketiga adalah penjualan artifak bersejarah yang nilainya hingga mencecah jutaan USD kepada pihak ketiga dan juga pasaran gelap. Sumber seterusnya adalah dariapda cukai ‘jizyah’ yang dikenakan ke atas penduduk yang dinaungi oleh ISIS. Maka tidak hairanlah apabila ISIS dianggap sebagai kumpulan terroris yang paling kaya dalam sejarah dunia.

ISIS mendapat sokongan Israel terutama dari sudut latihan dan persenjataan. Sebab itu kita dapat lihat dengan jelas ISIS tidak mempunyai perancangan untuk menyerang Israel, akan tetapi berterus-terusan menyerang mana-mana negara Islam yang menentang doktrin yang dibawa.

Laporan oleh Wall Street Journal pada Mac 2015 menyatakan bahawa Israel memberikan bantuan perubatan kepada pejuang-pejuang ISIS yang cedera. Kemudianya, mereka dihantar semula ke sempadan Syria untuk berjuang. Malah laporan oleh The Guardian pada April 2018 juga menjelaskan bahawa Israel membantu pejuang ISIS dari segi kepakaran dan taktikal peperangan serta teknologi ketenteraan. Ini menjadikan ISIS amat berpengaruh dan memperolehi kekuatan yang padu dalam masa yang amat singkat.

Seharusnya yang difikirkan oleh kita semua adalah mengapakah ISIS tidak sama sekali menyerang Israel jika mereka benar-benar ingin menegakkan ‘Daulah Islamiyyah’. Seterusnya, adalah satu kemusykilan mengapa ISIS tidak dapat dikalahkan dengan mudah. Penggunaan kenderaan pikup Toyota sudah menjadi lumrah dan seumpama kenderaan rasmi ISIS. Mengapakah ‘drone’ Amerika mahupun Israel tidak menyerang konvoi tersebut? Ianya amat mudah untuk dikalahkan dan tidak langsung mempunyai kemampuan untuk menyerang balas. Akan tetapi keadaan ini tidak berlaku. Malah konvoi ‘Toyota’ tersebut dibiarkan terus menguasai kawasan-kawasan strategik dan laluan penting di Syria dan Iraq. Ini menunjukkan bahawasanya ada tangan-tangan ghaib yang membantu dan membiarkan ISIS terus berkuasa di Syria dan Iraq hingga satu tempoh yang dirasakan perlu.

Seperkara yang harus kita fahami ialah perjuangan ISIS tidak dipersetujui oleh kumpulan-kumpulan Islam lainnya termasuklah Al-Qaeda. Walaupun Al-Qaeda dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas terbesar sebelum munculnya ISIS, akan tetapi jelas bahawa cara dan tindakan ganas ISIS tidak dipersetujui oleh mereka.

Apabila kelompok yang keluar dari perjuangan Al-Qaeda dan mewujudkan ‘Jabhat An-Nusra’ di Syria bercadang untuk bergabung dengan Al-Qaeda, ianya telah ditentang oleh Osama Laden. Malah Ayman Al-Zawahiri yang mewarisi perjuangan Al-Qaeda juga secara terang-terangan menempelak kekejaman ISIS. Video ucapan Ayman Al-Zawahiri juga menolak perjuangan ISIS yang disifatkan terpesong dari ajaran Islam sebenar. Al-Qaeda hanya memfokuskan pembunuhan kepada musuh-musuh Islam akan tetapi ISIS membunuh semua pihak yang menentang perjuangan mereka termasuklah Muslim di seluruh dunia.

Fakta terakhir yang jelas adalah pengikut dan pimpinan ISIS berfahaman ‘Salafi Jihadi’ dan ‘Salafi Takfiri’. Tokoh-tokoh ISIS seperti Abu Bakar Al-Baghdadi, Abu Turki, Abu Musab Al-Zarqawi dan ramai lagi berfahaman ‘Salafi Jihadi’ yang diambil dari aliran Sheikh Muhammad Abdul Wahhab atau juga dikenali sebagai ‘Wahhabi’. Kebanyakkan mereka ini mempelajari aliran ekstrem ini melalui institusi pengajian di Saudi, Jordan, Iraq, Pakistan, India, Indonesia dan Afghanistan.

Aliran ini meresapi ramai pengikut yang naif dan baru mengenali Islam iaitu ‘mualaf’. Malah mereka yang mencari Islam ‘sebenar’, telah ditunjukkan jalan pintas dengan cara menjadi pejuang jihad sebagai kunci menuju syurga. Aliran ini menebar di seluruh pelosok dunia hingga menjadi satu ancaman baru kepada Islam. Walaupun agak tidak adil mengatakan bahawa semua pengikut ‘Wahhabi’ adalah terroris, akan tetapi ciri-ciri ajaran ini lebih cenderong menguasai pemikiran ekstremis hingga terluah dengan tindakan yang radikal dan berakhir dengan perlakuan terroris.

Akhirnya, kebejatan ISIS hanya terungkai apabila kita membuka minda dan memahami apa yang diperjuangkan mereka. Fakta-fakta yang mengejutkan ini seharusnya difahami dan dihayati agar sesiapa sahaja tidak termasuk dalam perangkap yang disediakan oleh musuh-musuh Islam yang sanggup menggunakan Islam demi mencapai objektif mereka.



* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Perlis Chapter. ([email protected])

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.