PENDUDUK di benua Amerika, Eropah dan Afrika akan menyaksikan bulan bertukar warna menjadi kemerahan apabila fenomena gerhana bulan ‘Super Blood Wolf’ berlaku.

Fenomena itu berlaku di antara waktu 9.30 malam Ahad hingga berakhir pada 10.35 malam Isnin mengikut zon waktu timur Amerika Syarikat (sekitar jam 10.30 pagi Isnin di Malaysia).

Bulan akan kelihatan lebih besar daripada ukuran biasanya ketika supermoon ini berlaku. Sewaktu fenomena alam ini berlaku bulan akan berada pada jarak 365,800 kilometer daripada titik terdekatnya dengan bumi.

Ketika supermoon, bulan lebih terang sebanyak 30 peratus dan 14 peratus lebih besar dari saiz biasa.

Supermoon kali ini juga akan berlaku serentak dengan kejadian gerhana bulan penuh yang berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra Bumi.

BACA: Gerhana bulan penuh, sambutan Thaipusam tidak terjejas

BACA: Kuil Hindu mesti ditutup daripada upacara sembahyang semasa gerhana bulan

Ketika gerhana penuh, Bumi akan menghalang cahaya dari matahari dan membiaskan cahaya berwarna kemerahan di permukaan Bulan. Ramai yang menggelarkan ini sebagai ‘Blood Moon”.

Memetik National Geographic, gerhana ini diberikan jolokan sebagai ‘Super Blood Wolf’ kerana nama tradisional bulan Januari yang digelar sebagai ‘Bulan Serigala’.

Masyarakat pribumi di Amerika dan Eropah pula mengaitkan bulan Januari adalah waktu apabila serigala menyalak kelaparan ketika musim sejuk.

Benua Amerika Utara dan Selatan berpeluang menyaksikan fenomena gerhana penuh begitu juga dengan Eropah dan juga Barat Afrika. Sebahagian dari Afrika Timur dan Asia hanya dapat memerhatikan gerhana bulan separa.

Fenomena seumpama ini hanya akan berlaku semula pada 2021.

LIHAT: Fenomena gerhana 'Super Blue Blood-Moon'