Sekurang-kurang 36 dilaporkan maut apabila sebuah feri membawa 173 penumpang dan kru terbalik ketika laut bergelora di tengah Filipina hari ini.

Menurut pengawal pantai di Manila, pasukan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa yang masih hidup dan menyelamatkan mangsa yang berpaut kepada badan kapal yang terbalik itu.

Insiden itu berlaku kira-kira satu kilometer daripada pelabuhan Ormoc yang terletak di Pulau Leyte, lapor pegawai pengurangan risiko bencana dan pengurusan pejabat, Ciriaco Tolibao kepada AFP.

Ketika kejadian, Feri Kim Nirvana dikatakan sedang menuju Pulau Camotes dari pusat bandar Ormoc apabila ia terbalik.

Kumpulan penyelam kini sedang bertungkus lumus mencari mangsa sekiranya ada yang terselamat sekitar kawasan perairan yang keruh.

Tolibao berkata setakat ini seramai 53 mangsa yang masih hidup telah dibawa ke hospital manakala lebih 20 orang telah pulang ke rumah selepas kejadian tidak diingini itu berlaku.

"Kami akan memeriksa bahagian kapal untuk meyelamat lebih mangsa yang mungkin terperangkap di dalam badan kapal," katanya.

"Kami berharap misi menyelamat ini dapat diselesaikan sebelum gelap dan sebelum hari mulai hujan."

Menurut laporan radio Manila, 21 orang dilaporkan hilang namun angka rasmi masih belum dapat disahkan.

Pasukan pengawal pantai turut mengesahkan satu operasi menyelamatkan besar-besaran telah dilancarkan namun enggan memberikan maklumat lanjut.

Feri yang tidak diselenggara dengan baik sering menyebabkan kemalangan di kawasan perairan di negara itu.

Ratusan nyawa dilaporkan dalam beberapa insiden kemalangan sejak beberapa tahun lalu.

Salah satu insiden paling diingati berlaku pada 1987 apabila feri Dona Paz merempuh sebuah kapal tangki minyak menyebabkan 4,300 terkorban.