PLATFORM media sosial Facebook dan Google terus dihentam kerana gagal membendung penularan kandungan berunsur ekstrem termasuk kejadian serangan pengganas di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menggesa negara-negara anggota G20 menggunakan pertemuan mereka pada Jun depan untuk membincangkan soal peranan Facebook yang gagal mengawal kandungan seperti itu.

Dalam surat yang ditulis kepada rakan sejawatannya dari negara tuan rumah, Jepun, Shinzo Abe, Morrison mencadangkan isu berkenaan dijadikan sebagai topik perbincangan utama.

Negara-negara anggota G20 juga, katanya, perlu bekerjasama rapat dengan platform media sosial untuk memastikan mereka bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan oleh syarikat mereka.

“Kita tidak boleh membiarkan internet menjadi satu ruang yang tidak diselia.

“Komuniti global perlu bekerjasama rapat untuk memastikan firma teknologi memenuhi tuntutan moral mereka dalam melindungi komuniti yang sudah membuatkan syarikat mereka meraih untung besar,” kata beliau dalam surat kepada Abe.

BACA; Serangan Christchurch: Syarikat ternama boikot, tarik iklan daripada Facebook, Google

Kenyataan Morrison menyusul selepas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menggesa Facebook menjelaskan mengapa laman media sosial popular itu gagal menjalankan tanggungjawab mereka.

Media tempatan New Zealand turun melaporkan bank-bank utama negara itu mula membatalkan pengiklanan mereka di laman Facebook dan Google.

“Kita tidak boleh hanya duduk diam dan menerima kenyataan bahawan platform ini tidak ada kuasa mengawal kandungan di laman sosial mereka di mana video ini disebarkan.

“Mereka adalah penerbit, bukan hanya platform penyampai. Kita tidak boleh biarkan mereka meraih untung dan enggan bertanggungjawab dengan kes ini,” kata Ardern di Parlimen pada Selasa.

Sementara itu, Facebook berkata, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak polis New Zealand dan industri teknologi untuk membantu membanteras kandungan berunsur perkauman, kebencian, ancaman dan keganasan.

Dalam kejadian Jumaat lepas, pengganas warga Australia itu, Brenton Tarrant merakam secara langsung tindakannya menembak jemaah di dalam masjid dan video berkenaan berada di platform Facebook untuk beberapa jam serta dikongsi oleh banyak pihak.

Ia menjadi contoh terbaharu bagaimana syarikat media sosial gagal mengawal kandungan berunsur keganasan dalam laman sosialnya yang meraih berbilion dolar keuntungan daripada pengiklanan.

Menurut Naib Presiden Facebook, Chris Sonderby, video tragedi tembakan pengganas itu ditonton kurang daripada 200 kali ketika disiar secara langsung dan tiada pengguna yang melaporkan kejadian berkenaan.