Berita  | Dunia

Gadis ditikam kakak sendiri 189 kali, dicungkil mata kerana 'terlalu cantik'

Gadis ditikam kakak sendiri 189 kali, dicungkil mata kerana 'terlalu cantik'
Elizaveta tidak menunjukkan wajah penyesalan ketika dibicarakan di mahkamah. -Foto East2west news
ST PETERSBURG: Akibat gagal mengawal perasaan cemburu, seorang wanita tergamak membunuh adik perempuannya sendiri dengan cara yang amat kejam.

Elizaveta Dubrovina, 22, didakwa menikam adiknya Stefania sebanyak 189 kali di seluruh badan sebelum memotong telinga dan mencungkil mata mangsa dalam satu kejadian yang berlaku pada tahun 2016.

Sewaktu kejadian, Elizaveta berusia 19 tahun manakala adiknya pula 17 tahun.

Alasannya, dia cemburu dengan kecantikan adiknya dan mahu meniru imej mangsa ketika itu.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu Stefania telah dibunuh di rumah teman lelakinya, Alexey Fateev, 44, yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar membeli barangan keperluan.

Sekembalinya ke rumah, Fateev memberitahu mahkamah dia melihat tubuh Stefania yang tidak lagi bernyawa terlentang di atas lantai tanpa seurat benang dan berlumuran darah.

Dia mendakwa terlihat Elizaveta dan menahannya daripada meninggalkan tempat kejadian.

Pendakwaraya memberitahu mahkamah, Elizaveta sejak bertahun lamanya mencemburui adiknya dan cuba meniru imej termasuk gaya rambut dan warna gincu bibir.

Sepanjang perbicaraan di mahkamah, Elizaveta dilapor tidak menunjukkan wajah penyesalan.

Elizaveta didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun.

Elizaveta Dubrovina (kanan) didakwa menikam adiknya Stefania 189 kali sebelum memotong telinga dan mencungkil mata mangsa.