Seorang gadis sunti berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dilaporkan dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan lelaki.

Kejadian berlaku dalam negeri Assam, India Jumaat lalu.

Lebih malang pelajar darjah lima sekolah rendah itu telah diperkosa secara berkumpulan sebelum dibakar kejam.

Menurut laporan media tempatan, susulan kejadian, polis telah menangkap dua suspek dan kini sedang memburu suspek ketiga.

BACA: Dituduh zina: Wanita 'bersari' diikat dipokok, diseksa dan dicabul puluhan lelaki

BACA: Gadis kilang trauma diperkosa tiga kali, diancam bunuh pemandu beca bermotor

Gadis cilik tersebut mengalami lecur sehingga 90 peratus akibat terbakar. Dia meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.

Dua daripada suspek adalah di bawah umur dan juga merupakan rakan satu sekolah mangsa.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang bersendirian di kediamannya. Tiga suspek terbabit dikatakan menyerbu masuk rumah terbabit dan melakukan perbuatan terkeji itu sebelum mencurah minyak tanah dan membakar mangsa.

Sebelum meninggal dunia, mangsa sempat memaklumkan kepada pihak polis bahawa tiga lelaki telah menyiramkan minyak ke tubuhnya dan membakarnya setelah diperkosa mereka secara bergilir-gilir.

Ujian untuk mengesahkan pelajar itu diperkosa tidak dapat dijalankan akibat parahnya kesan kecederaan yang dialaminya.

Suspek akan didakwa di bawah Akta Keadilan Kanak-Kanak kerana mangsa masih di bawah umur.