KOREA SELATAN, sebuah negara yang kemilaunya cukup gah. Dominasi bintang-bintang yang mewarnai industri pop culture yang merajai dunia membuatkan segala-galanya tentang negara itu tampil cukup indah.

Ketepikan seketika riuh pikuk di sebalik gemilangnya nama BTS, Blackpink, Bigbang atau EXO. Lupakan dahulu bagaimana Lee Joon Gi atau Jun Ji Hyun membuai perasaan kita menerusi lontaran emosi dalam lakonan masing-masing.

Korea Selatan sebenarnya menanggung galau yang bukan sedikit. Tanpa mengambil kira faktor politik yang mencetuskan Perang Korea, hakikatnya impak yang ditinggalkan melewati abad.

Susur galur keturunan tidak lengkap tercantum, keluarga dan sahabat handai terpisah. Tiga tahun perang berlangsung, jutaan nyawa terkorban, manakala yang terselamat terpaksa meneruskan hidup dengan parut yang peritnya tidak pernah surut.

Mangbaeddan merupakan salah satu monumen peringatan di mana acara keagamaan dan ritual dilakukan. - Astro AWANI
Dianggarkan tidak kurang 10 juta rakyat Korea Selatan kini tidak dapat pulang ke Korea Utara untuk bertemu orang tersayang.

Imjingak atau Peace Park, terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Seoul, dibina dengan hasrat meredakan rasa tidak keruan mereka.

Lebih daripada itu, ia menyimpan harapan dan impian agar yang terpisah dapat disatukan dan yang terluka dapat disembuhkan.

Penulis dan rombongan media dari Asia Tenggara hadir di Korea Selatan sebagai memenuhi jemputan Kementerian Luar Negerinya bersempena countdown ASEAN-ROK Commemorative Summit 2019 yang bakal berlangsung November ini.

Tanah Korea Utara terletak hanya di seberang Sungai Imjin ini. - Astro AWANI
Dalam tentatif kunjungan, kami dijadual melawat Korean Demilitarized Zone (DMZ). Namun perancangan untuk ke DMZ terpaksa dibatalkan dek wabak selsema babi di kawasan itu.

DMZ merupakan buffer zone yang memisahkan kawasan semenanjung Korea kepada dua bahagian. Ia terhasil selepas perjanjian antara Korea Utara, China dan Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1953.

Imjingak bolehlah dikatakan sebagai kawasan penempatan terakhir sebelum sampai ke DMZ. Jarak antara kedua-duanya ialah kira-kira 7 kilometer.

Berbeza dengan DMZ, pengunjung ke Imjingak tidak perlu melalui checkpoint keselamatan atau menunjukkan dokumen pengenalan untuk melawat.

Siap dibina pada 1972, Imjingak dikelilingi tugu peringatan dan pagar berduri, yang sentiasa mengingatkan betapa dekatnya kami dengan Korea Utara.

Terletak berhampiran sungai Imjin, mood sugul dapat dirasai sebaik kaki melangkah ke dalam taman ini. Apatah lagi dengan alunan lagu "30 Years Lost" dendangan Woondo Seol yang menyambut ketibaan kami.

Reben pelbagai warna, bertulis doa dan harapan penyatuan dan keamanan. - Astro AWANI
Pagar kawat berduri dihiasi reben pelbagai berwarna, kebanyakannya berwarna kuning sebagai tanda berkabung.

Tertulis di setiap helaian reben adalah harapan dan doa, agar ahli keluarga dan sahabat yang jauh sentiasa dalam perlindungan Tuhan.

Melepasi pagar itu ialah Civilian Control Line, yang bertujuan mengehadkan dan mengawal kemasukan orang awam, selain melindungi dan mengekalkan keselamatan kemudahan dan operasi ketenteraan berhampiran DMZ.

Pengunjung menulis harapan mereka pada bendera yang digantung pada pagar di hujung Freedom Bridge. - Astro AWANI
Paling ikonik di sini tentu sekali Freedom Bridge. Dahulunya, ia merupakan jambatan laluan kereta api yang pernah digunakan oleh tahanan perang untuk pulang dari Korea Utara.

Turut menjadi tumpuan di sini ialah dek pemandangan. Platform ini membolehkan pengunjung melihat tanah yang merupakan sebahagian dari Korea Utara.

Mungkin tidak cukup mengubati resah di hati, tetapi jika hanya setakat itu yang termampu, apa lagi pilihan yang ada selain menerima dengan terbuka.

Freedom Bridge yang ikonik jadi tumpuan pengunjung. - Astro AWANI
Benar, apa yang berlaku ada sebab dan hikmahnya. Imjingak kini merupakan salah satu lokasi popular dalam kalangan pelancong, baik dalam mahupun luar negara.

Masyarakat dari serata dunia kini boleh berkongsi harapan keamanan dan penyatuan yang sama. Namun beban perasaan yang ditanggung, hanya yang melalui dapat merasainya.

Harapan itu tetap dan masih menyala, namun takdir dan masa menentukan.