Sekumpulan lelaki bertindak menyerang seorang lelaki dan menyuntik asid ke dalam mata mangsa sehingga mengakibat dia buta.

Semuanya gara-gara mangsa didakwa membawa lari isteri majikan yang dicintainya.

Kejadian dilaporkan berlaku malam tadi di sebuah kedai makan di Pipra Chowk, Begusarai dalam wilayah Bihar di India.

Lapor portal NDTV, Timbalan Superintendan Polis tempatan, B K Singh mengesahkan kejadian dan berkata mangsa yang berusia 30 tahun itu adalah seorang pemandu.

Doktor turut mengesahkan dia hilang penglihatan akibat kejadian itu.

Menurut mangsa dia pernah bekerja sebagai pemandu traktor di sebuah kampung di Barauni di daerah Teghra sebelum menjalinkan hubungan dengan isteri majikannya yang juga tuan punya ladang.

Pada 6 Februari lalu dia dan pasangannya itu telah melarikan diri selepas majikannya membuat laporan polis mengatakan mangsa menculik isterinya.

Namun pada 16 Februari, wanita terbabit telah pulang ke pangkuan suaminya semula selepas membuat laporan polis.

Abang ipar majikan mangsa kemudiannya menelefon mangsa dan berkata wanita itu sanggup tinggal bersamanya dan mangsa sepatutnya kembali Teghra untuk menjemput wanita itu.

Ketika menghampiri balai polis Teghra untuk menjemput wanita itu, lelaki terbabit telah dikepung oleh sekumpulan 20 orang lelaki yang membawanya ke sebuah kedai makan berdekatan sebelum memukulnya.

Susulan itu juga salah seorang anggota kumpulan itu telah menyuntik matanya dengan cecair asid.

Dia kemudiannya ditinggalkan di sebuah balai polis di daerah berhampiran.

Pihak polis kini sedang menjalankan diasatan lanjut dan beberapa lelaki telah ditahan.