Tutup

Berita  | Dunia

Gara-gara berhijab, remaja tidak dibenarkan menaiki pesawat

Gara-gara berhijab, remaja tidak dibenarkan menaiki pesawat
Fatima merupakan salah seorang pemain nasional daripada pasukan squasy junior AS. - Foto: twitter.com/Sabreen_magdy
SYARIKAT penerbangan nasional Kanada menerima aduan ramai susulan seorang penumpang remaja beragama Islam yang mendakwa dia dipaksa oleh kakitangan syarikat itu untuk menanggal hijabnya di tempat awam.

Fatima Abdelrahman, 12 tahun, yang menaiki pesawat dari San Francisco ke Toronto untuk bertanding dalam acara squasy, terkejut dan gelisah apabila dia dipaksa menanggalkan hijabnya sebelum menaiki pesawat, walaupun telah melepasi pemeriksaan keselamatan.
“Perlakuan diskriminasi terhadap seseorang kerana pakaian atau agama adalah salah dan tidak adil,” kata Fatima dalam satu temu bual bersama HuffPost, baru-baru ini.

Oleh itu, majlis hak sivil Islam-Amerika, CAIR membuat aduan terhadap Air Canada bagi memastikan mana-mana penumpang syarikat berkenaan tidak melalui diskriminasi pada masa akan datang.
Selepas beberapa aduan dilapor supaya mendesak syarikat penerbangan itu mengaku kesilapan, akhirnya Air Canada menghantar surat pemohonan maaf kepada Fatima dan keluarganya.

Dalam surat yang telah dikeluarkan, permintaan keluarga itu ialah untuk mengubah polisi supaya adanya polisi anti-diskriminasi, program pendedahan budaya Islam kepada kakitangan syarikat, serta surat pengakuan rasmi bahawa telah berlaku diskriminasi terhadap penumpang remaja Islam.

“Kita tidak minta masyarakat Islam diberi layanan istimewa, tetapi orang Islam terutama di Amerika Syarikat (AS) sering menjadi sasaran diskriminasi dan ini harus ditangani dengan segera,” kata Rafiqi Ammad yang mewakili CAIR.

Menurut CAIR, Air Canada diberi masa sehingga 4 Oktober untuk menangani isu ini sebelum dikenakan tindakan undang-undang.

Fatima merupakan salah seorang pemain nasional daripada pasukan squasy junior AS.


Tag: Canada, Amerika Syarikat, Islam, Air Canada, Islamophobia, Hijab, Pesawat, Syarikat Penerbangan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.