Tutup

Berita  | Dunia

Gara-gara cuci punggung guna 'air suci' di Bali, pasangan Rusia dikecam netizen Indonesia

Gara-gara cuci punggung guna 'air suci' di Bali, pasangan Rusia dikecam netizen Indonesia
Setelah mengetahui perbuatan mereka melampaui batas, kedua-dua warga Rusia itu tampil memohon maaf melalui akaun Instagram mereka @sabina_dolezalova_ifbb dan @znedekslouka. -gambar Instagram sabina_dolezalova_ifbb
KEMUNCULAN sebuah klip video yang memaparkan sepasang pelancong warga Rusia mencuci punggung menggunakan 'air suci' di Bali, Indonesia minggu lalu mencetuskan kemarahan rakyat di kawasan berkenaan.

Pasangan Rusia terbabit yang juga merupakan ahli bina badan, Sabina Dolezalova dan Zdenek Slouka, dikatakan telah mencemarkan kesucian salah sebuah kuil di kawasan Monkey Forest, Ubud, Bali.

Difahamkan, video terbabit dikongsikan menerusi ruangan Instagram story milik Sabina Dolezalova sendiri.

Di dalam video itu, Sabina Dolezalova kelihatan sedang ‘bergurau’ bersama pasangannya Zdenek Slouka dan menggunakan air suci yang mengalir dari tiang kuil itu untuk membersihkan bahagian punggungnya.
Menurut seorang senator dari Bali, Dr. Arya Wedakarna pasangan itu telah melakukan tindakan mencemarkan di kawasan peninggalan kuil yang dianggap suci di Ubud.

Jelas Dr. Arya juga dia memohon agar pasangan itu memohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada penduduk sekitar.

Selain itu, beberapa penduduk di situ juga dikatakan telah meminta Agensi Imigresen Bali untuk menghalang kedua-dua warga asing dari meninggalkan Bali sehingga mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka, lapor Mata Indonesia News.
Setelah mengetahui perbuatan mereka melampaui batas, kedua-dua warga Rusia itu tampil memohon maaf melalui akaun Instagram mereka @sabina_dolezalova_ifbb dan @znedekslouka.

Kedua-duanya menyatakan permohonan maaf mereka menerusi sebuah muat naik video Story dimana mereka mengakui kesilapan mereka.

Pasangan berkenaan memuat naik video permohonan maaf mereka di Instagram

"Kami sangat menyesal mengenai video semalam. Kami tidak mempedulikan kuil suci dan air suci di Ubud, dan kami tidak mengetahuinya dan kami menyesal kerana melakukannya, " kata Slouka.

"Ya, kerana kami tidak tahu mengenai air suci atau kuil suci itu, kami sangat menyesal dan kami harap anda semua akan memaafkan kami. Sekarang, kami hanya mahu tahu apa yang boleh kami lakukan untuk memperbaikinya," kata Dolezalova.

Pada Ahad, 8 Ogos, pasangan tersebut telah meminta maaf di hadapan polis atas tindakan mereka dan dilaporkan telah dimaafkan, lapor Detik News.

Tag: Instagram, Indonesia, Bali, Rusia, video, pelancong, warga asing


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.