announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Gara-gara kedai arak ditutup, 10 maut minum cecair sanitasi di India

Gara-gara kedai arak ditutup, 10 maut minum cecair sanitasi di India
Seorang petugas kesihatan menjalankan ujian swab COVID-19 ke atas seorang guru di sebuah pusat komuniti, di Ahmedabad, India, 27 Julai, 2020. REUTERS/Gambar hiasan
SEKURANG-kurangnya 10 individu maut pada Jumaat, selepas mereka minum cecair sanitasi yang mengandungi alkohol, di sebuah kampung di Andhra Pradesh.

Kejadian terjadi berikutan langkah pihak berkuasa menutup premis-premis yang menjual arak dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Susulan itu, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan pihak polis pada Sabtu bagi menyiasat kes berkenaan.

Perintah berkurung mula dikuatkuasakan di Kampung Kurichedu selepas beberapa kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan penduduknya.

Memetik laporan Reuters, Ketua Polis Daerah Siddharth Kaushal memaklumkan, mangsa-mangsa berkenaan telah mencampurkan cecair sanitasi dengan air kosong dan air berkarbonat.

“Sesetengah orang yang ketagih alkohol mula mengambil cecair sanitasi untuk rasa khayal,” katanya dipetik agensi berita itu.

"Alkohol sukar didapati ekoran perintah berkurung tetapi pensanitasi tangan mudah dicari."

Bagaimanapun, selain mereka yang maut, beberapa pesakit lain yang turut mengambil cecair sanitasi itu telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Kami sedang menyiasat sama ada cecair sanitasi tersebut mengandungi bahan toksik lain,” kata Kaushal kepada wartawan.

BACA: Saranan Duterte, cuci pelitup muka guna minyak tanah cetus kekhuatiran 

BACA: COVID-19: Angka maut global lebih 681,000

Kerajaan persekutuan telah membenarkan beberapa aktiviti ekonomi bagi memulihkan ekonomi susulan perintah berkurung dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Namun, kebanyakan negeri termasuk Andhra Pradesh masih melaksanakan perintah berkurung di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi, termasuk Kurichedu.

Pada Sabtu, India merekodkan 57,118 kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam - angka tertinggi yang direkodkan dalam satu hari.

Setakat pagi Ahad waktu tempatan, negara itu mencatatkan 1,751,919 kes positif COVID-19, sekali gus menjadi negara ketiga dengan jumlah kes tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil.