Gara-gara takut kehamilannya diketahui suami, seorang wanita di Jember, Jawa Timur, Indonesia sanggup mencampak bayi yang baru dilahirkan, ke dalam sungai.

Portal berita Detik News melaporkan, mayat bayi lelaki itu ditemukan terapung di Sungai Curah Arum, Desa Kaliwining oleh penduduk tempatan sebelum menghubungi polis.

Bertindak atas maklumat orang ramai, polis menahan seorang wanita berusia 24 tahun dipercayai ibu kepada bayi itu.

Pegawai polis, Kapolsek Rambipuji AKP Hari Pamuji berkata, ketika keterangan diambil wanita itu mengaku mencampak bayi yang baru dilahirkan itu ke dalam sungai.

"Suspek juga memberitahu yang dia bertindak demikian kerana takut kepada suaminya," katanya di sini, pada Selasa.

Hari menambah, berdasarkan siasatan, suami wanita itu bekerja di Bali dan hanya pulang ke rumah pada setiap tiga bulan sekali.

Beliau memberitahu, polis sedang menyiasat kemungkinan wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain, yang menyebabkan dia merahsiakan kandungannya itu daripada suaminya.

Ekoran itu katanya, polis telah memanggil suami wanita itu untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat itu benar-benar anak kepada pasangan itu atau sebaliknya.

"Kita juga sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk sama ada wanita itu melakukan jenayah itu seorang diri atau dengan bantuan individu lain," ujarnya.

Katanya, wanita itu sudahpun mempunyai dua orang anak.