Sebuah pesawat Caspian Airlines tergelincir ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Mahshahr di Selatan Iran pada Isnin.

Memetik laporan media tempatan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berhubung insiden itu.

Pesawat membawa 135 penumpang dan tujuh anak kapal itu dikatakan mengalami masalah teknikal dan terpaksa menangguh pendaratannya buat seketika sebelum kejadian.

Lapor media, gear pendaratan pesawat berkenaan dikatakan gagal berfungsi ketika mendarat menyebabkan pesawat itu tergelincir dari landasan.

Tiada kebakaran berlaku ketika pendaratan cemas itu berlaku dan sehingga kini siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sabtu lalu, sebuah pesawat Iran yang dijadualkan dari Tehran ke Istanbul terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Tehran selepas mengalami masalah teknikal.

Bagaimanapun syarikat penerbangan Iran dalam satu kenyataan menunding jari kepada Amerika Syarikat atas sekatan yang dikenakan sekaligus menyukarkan syarikat itu membaik pulih pesawat miliknya.