Jabatan Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami dengan ombak setinggi tiga meter susulan gempa berukuran 6.9 magnitud melanda wilayah Fukushima.

Gempa berlaku kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dengan kedalaman 10 kilometer, lapor Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pada mulanya, agensi berkenaan meletakkan bacaan 7.3 magnitud namun telah dikurangkan menjadi 6.9.

Setakat ini, laporan kerosakan atau kecederaan belum diterima secara keseluruhan, cuma yang terawal adalah seorang surirumah yang luka di kepalanya akibat terkena barangan dapur yang jatuh dari ruang simpanan, lapor agensi berita Kyodo.

Fenomena air laut pasang surut turut berlaku di kawasan pantai di Iwaki.

Tsunami berukuran 60 sentimeter telah dikesan di Pelabuhan Onahama di Fukushima dan berukuran 90 sentimeter di Soma sejurus kejadian gempa tersebut, lapor media tempatan.

Susulan itu, penduduk di kawasan perairan itu diarahkan berpindah ke kawasan selamat.

Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen di jalur Tohoku, Joetsu dan Hokuriku telah dihentikan sementara sebagai persediaan mengelakkan lebih banyak kerosakan, kecederaan dan kemalangan.

Fukushima yang terletak di utara Tokyo merupakan pusat loji kuasa nuklear yang sebelum ini musnah susulan kejadian tsunami dan gempa bumi luar pesisir pada 2011.

Kira-kira 18,000 terkorban dalam bencana itu.