Sebuah keluarga di Kazakstan yang baru sahaja menerima kematian salah seorang ahli keluarga terkejut apabila 'si mati' muncul kembali.

"Kami amat terperanjat apabila Pakcik Aigali muncul di rumah selepas dua bulan kami mengebumikannya," kata Esengali Supygaliev.

Warga emas berusia 63 tahun itu keluar dari rumah pada bulan Jun lalu dan tidak pulang.

Keluarganya menunggu sehingga sebulan sebelum melaporkan kehilangan Aigali kerana dia sering keluar sehingga berminggu-minggu.

Dalam pada itu, pihak polis meminta mereka mengecam mayat seorang lelaki yang mati tebakar.

Ujian DNA menunjukkan 99.2 peratus padanan dengan Aigali lalu pihak berkuasa mengeluarkan sijil kematian.

September lalu, 'mayat' Aigali dikebumikan di kampungnya di Tomarly.

Cerita sebenar yang berlaku, Aigali menerima tawaran kerja daripada seorang lelaki yang ditemuinya di pasar.

Empat bulan kemudian, dia pulang setelah kerjanya selesai.

Walaupun lega dengan kepulangannya, keluarga Supygaliev mahu menyaman pihak berkuasa kerana kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kecuaian mengesahkan kematian Aigali.