Calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump nampaknya menerima tamparan hebat apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google Inc Sundar Pichai pula bersuara.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman blog Medium, Pichai menyuarakan sokongan bukan sahaja untuk umat Islam, malah untuk golongan minoriti di AS dan di seluruh dunia.

Trump sebelum ini menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki AS.

Namun, Pichai dalam kenyataan berpendapat kepelbagaian bangsa penting untuk kejayaan AS di masa hadapan.

BACA: Putera Alwaleed, Donald Trump berselisih pendapat di Twitter
VIDEO: Warga Arab-Amerika serbu masuk majlis dihadiri Donald Trump


Beliau sendiri mengambil contoh bahawa Google terus unggul kerana mempunyai pekerja dari pelbagai latar belakang dan bangsa yang berbeza.

“Saya bekerja dengan orang dari pelbagai budaya. Setiap dari mereka mempunyai suara yang berbeza, perspektif yang berbeza dan kisah yang berbeza untuk dikongsi.

“Itu semua membuatkan syarikat kami seronok untuk bekerja dan membolehkan kami untuk melakukan perkara yang hebat bersama,” tulis Pichai.

Beliau turut berkongsi kisah beliau yang berhijrah ke AS dari India ketika umur beliau 22 tahun.

“Kisah saya tidak unik. Sudah berjuta kali dikatakan bahawa Amerika adalah sebuah negara yang membuka banyak peluang bagi jutaan pendatang.

“Secara kebetulan, Amerika pernah dan masih menjadi negara untuk pendatang,” katanya.

Walaupun ragu-ragu untuk kongsi kenyataan tersebut namun Pichai berpendapat ia tepat pada masanya.

Pada Isnin lalu, Trump membuat kenyataan panas itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

Kenyataan itu mengundang kritikan daripada pesaing Trump dan White House yang mengecam gesaan Trump itu kerana ia dianggap "amat bertentangan" dengan nilai-nilai Amerika Syarikat.