Tutup

Berita  | Dunia

Gua Tham Luang: 13 Pemain, jurulatih Wild Boar 'kempunan' ke Rusia

Gua Tham Luang: 13 Pemain, jurulatih Wild Boar 'kempunan' ke Rusia
Mangsa yang dikeluarkan dari gua itu dipercayai dibawa ke hospital menggunakan helikopter untuk menerima rawatan.
KESEMUA 13 mangsa yang terperangkap dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand tidak berkesempatan untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2018 secara langsung.

Walaupun lapan daripada mangsa yang terperangkap itu berjaya dikeluarkan setakat pukul 4 petang ini, mereka juga gagal -untuk terbang ke Rusia menyaksikan perlawanan itu.  

Ini kerana mereka yang telah dibawa keluar dari gua tersebut perlu dikuarantin dan menjalani rawatan sekurang-kurangnya tujuh hari di hospital.

Menurut pemeriksaan kesihatan pada empat mangsa pertama yang dijalankan kelmarin, dua daripada mereka mempunyai jangkitan paru-paru kecil manakala seorang lagi demam.
Kedua-duanya dirawat dengan antibiotik dan kini beransur pulih dan sudah boleh bergurau senda.

Bagaimanapun, mangsa hanya boleh melihat ibu bapa mereka melalui kaca tetapi tidak dibenarkan menyentuh dan memeluk.
Pihak hospital sedang bertungkus lumus untuk memastikan remaja yang telah diselamatkan itu mengadakan perbualan bersama ibu bapa mereka melalui telefon hari ini.

Minggu lalu, Presiden Fifa, Gianni Infantino menjemput 12 remaja yang juga pemain bola sepak pasukan Wild Boar dan seorang jurulatih mereka untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Surat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Jeneral Somyot Poonpanmoung itu disiarkan dalam Facebook FAT.

Pada Isnin lapan remaja yang terperangkap di gua Tham Luang, Thailand berjaya dikeluarkan dalam operasi mengeluarkan mangsa yang memasuki hari ketiga.


Baki empat remaja dan jurulatihnya, Ekphol Chantawong terus bermalam untuk malam ke-17 di dalam gua berkenaan sementara menunggu operasi disambung pada Selasa.

BACA: Jika 'Tuhan Hujan' bantu kita, maka misi ini akan selesai dengan cepat