SELAIN fokus operasi untuk mengeluarkan 13 mangsa yang terperangkap dalam gua dekat Tham Luang, cabaran pasukan penyelam antarabangsa juga menjadi tumpuan dunia.

Usaha ini juga dilihat sebagai satu usaha global apabila ia juga mendapat kerjasama pakar dari pelbagai pelusuk dunia seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Jepun, Laos dan Myanmar.

Menurut pakar penyelam dalam gua, Blue World Academy, penyelam profesional kebanyakannya hanya mempunyai kepakaran menyelam di laut dalam, manakala bagi operasi menyelamat ini mereka harus mengambil kelas khas yang mengambil masa tujuh hingga 14 hari bagi menyertai operasi menyelamat.

Usaha mencari dan menyelamat dilihat sangat getir dengan laluan sempit dan air lumpur yang menyebabkan tahap penglihatan hampir di tahap sifar, harus dilalui selama tujuh jam sebelum tiba di tempat 13 mangsa berada.

Menurut laporan Bangkok Post pula, mangsa-mangsa akan dikeluarkan secara berperingkat melalui empat kumpulan.

Memetik sumber, kumpulan pertama akan terdiri daripada empat orang, manakala kumpulan-kumpulan seterusnya akan terdiri daripada tiga orang, di mana jurulatih mereka berada dalam kumpulan terakhir.

Selain itu, seorang wartawan BBC telah memuatnaik satu tweet bahawa kerajaan Thailand telah mengeluarkan imej grafik tentang bagaimana operasi menyelamat itu akan dilakukan.

Berdasar maklumat tersebut, seorang mangsa akan diiringi oleh dua orang penyelam yang memakai topeng penuh berpandukan tali.

Dalam laluan sempit pula, penyelam akan melepaskan tangki dari belakang dan perlahan-lahan menggerakkannya sambil membimbing mangsa. Dari ruang tiga gua tersebut, mereka akan berjalan ke pintu gua.

Selain laluan yang sangat sempit, setiap penyelamat juga perlu membawa satu atau dua tong oksigen bagi kegunaan mangsa.






Syarikat dari pelbagai negara juga tiba bagi menawarkan sokongan dengan mendermakan peralatan.

Presiden dan pengasas Lifeguard Systems Butch Hendrick memberitahu CNN bahawa menyelam di dalam gua adalah satu perkara berbahaya walaupun itu tindakan yang terbaik yang boleh dilakukan ketika ini.

Operasi ini membabitkan seramai 13 penyelam antarabangsa, lima penyelam Thailand dan lima penyelam SEAL.

Remaja berkenaan, berusia antara 11 hingga 16 tahun, hilang bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun selepas latihan bola sepak 23 Jun lalu.

Untuk lebih memahami mengenai tragedi ini, ikuti penjelasan yang kami telah sediakan di sini.