Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, Bali ditutup sementara ekoran abu dari Gunung Agung yang memenuhi ruang udara.

Penutupan itu dilakukan menerusi Pemberian Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dikeluarkan jam 7.15 pagi.

Ia berkuat kuasa selama 24 jam bermula jam 7 pagi ini hingga jam 7 pagi esok.

"Lapangan terbang akan ditutup bermula 7 pagi selama 24 jam," kata Pegawai Hubungan Awam Ngurah Rai, Arie Ahsannurohim, seperti dipetik dalam laporan Detikcom.

"Abu gunung berapi telah menutup ruang udara di lapangan terbang ini. Biarpun partikelnya agak nipis, namun ia sememangnya abu gunung berapi," kata Arie.

Penutupan lapangan terbang itu menyaksikan lebih 5,000 penumpang terkandas.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok yang ditutup sebelum ini telah dibuka semula sekitar jam 8.15 pagi..

Ia ditutup ekoran peningkatan aktiviti Gunung Agung yang menyebabkan 16 penerbangan terpaksa dibatalkan.