Berita  | Dunia

'Haiwan diseksa, jadi bahan ujikaji kimia' - Video tular cetus kemarahan netizen

'Haiwan diseksa, jadi bahan ujikaji kimia' - Video tular cetus kemarahan netizen
Sekumpulan monyet dijadikan bahan ujikaji di Makmal Pharmacology dan Toxicology (LPT) di Hamburg, Jerman. -Gambar/YouTube Cruelty Free International
NETIZEN menggesa sebuah makmal di Jerman ditutup selepas video penyeksaan haiwan di situ tular.

Video berkenaan memaparkan beberapa spesies haiwan seperti monyet, kucing dan anjing dijadikan bahan eksperimen makmal tersebut.

Pada Sabtu lepas, aktivis dan orang ramai melakukan protes di luar Makmal Pharmacology dan Toxicology (LPT) di Hamburg dan mendesak ia ditutup.

Kemarahan masyarakat terhadap perkara itu tidak terhenti apabila netizen turut memainkan peranan dengan meletakkan ulasan negatif terhadap makmal tersebut di halaman Google.

YouTube Cruelty Free International


Menteri Pertanian Jerman, Barbara Otte-Kinast turut mencadangkan agar fasiliti tersebut ditutup.

"Jika dakwaan ini dibuktikan betul, mereka patut dihukum dan kesannya akan dilaksanakan segera.

"Kemungkinan pembatalan lesen ujian haiwan sedang diperiksa oleh Pejabat Lower saxony untuk Perlindungan Pengguna dan Keselamatan Makanan," katanya seperti dilaporkan portal Mirror.

Video penyeksaan haiwan itu dirakam pekerja daripada Organisasi Hak Asasi Haiwan Soko Tierschutz and Cruelty Free International (CFI) yang menyamar masuk ke dalam makmal tersebut.

Beberapa bahagian video menunjukkan sekumpulan monyet menjerit dan meronta-ronta apabila dipakaikan rantai besi pada leher dan diletakkan di dalam sangkar kecil.

Video 8 minit itu turut menunjukkan ujian toksikologi dijalankan ke atas haiwan terbabit membuatkan kesemuanya berada dalam keadaan tertekan.

YouTube Cruelty Free International
Menurut CFI, ujian dilakukan di makmal itu melibatkan proses meracun haiwan untuk melihat bagaimana tindak balas kimia atau dadah yang membawa kepada kemudaratan serius bagi mengukur dos bersesuaian dan selamat untuk manusia.

Mereka mendakwa haiwan turut disuntik atau dipaksa makan beberapa bahan kimia untuk melihat kesan toksik.

Kesan yang mengerikan dapat dilihat dalam video tersebut apabila terdapat haiwan yang muntah teruk, mengalami pendarahan dalaman, kesusahan bernafas, demam, penurunan berat badan, keletihan, masalah kulit, kegagalan organ malah hingga membawa kepada kematian.

CFI turut mendakwa kesemua haiwan itu tidak diberikan ubat tahan sakit atau anestetik, malah pekerja yang terlibat menjalankan proses tersebut tidak terlatih dan sering melakukan kekasaran terhadap haiwan.

Mereka berkata pernah melihat anjing jenis baka beagles mengalami pendarahan selepas sebatang paip dimasukkan ke dalam mulut haiwan secara paksa untuk memberinya makan sejenis kapsul.

YouTube Cruelty Free International
Ketua Pegawai Eksekutif CFI, Michelle Thew menyeru tindakan perundangan diambil ke atas makmal tersebut.

"Penyiasatan kami telah menemui penderitaan haiwan yang sangat mengerikan, penjagaan yang tidak mencukupi, amalan buruk dan pelanggaran undang-undang yang berlaku di Eropah dan Jerman.

"Kami juga menyeru kajian komprehensif dilakukan ke atas penggunaan haiwan dalam ujian ketoksikan di Eropah termasuk UK.

Dalam pada itu, petisyen atas talian telah dilancarkan oleh aktivis Carolin Iding bagi mendesak LPT ditutup.


AMARAN

Video di bawah mengandungi aksi kasar dan kejam yang tidak sesuai kepada sesetengah penonton.

Anda dinasihatkan untuk tidak menonton rakaman kekejaman haiwan ini jika mudah terganggu emosi.

Kanak-kanak di bawah usia 18 tahun adalah dilarang sama sekali menonton video di bawah: