Kemusnahan hutan hujan Amazon di Brazil pada tahun 2018 sudah mencapai paras tertinggi dalam dekad ini, dan semua itu antara lain disebabkan aktiviti pembalakan haram dan pencerobohan tanah pertanian.

Agensi berita Reuters yang memetik data kerajaan melaporkan, satelit yang merakam imej selama 12 bulan sehingga Julai 2018 menunjukkan 7,900 kilometer persegi hutan telah diteroka di Amazon.

Keluasan itu secara perbandingan lebih separuh keluasan Jamaica.

Penerokaan hutan adalah faktor utama di sebalik pemanasan global, yang menyumbang 15 peratus pembebasan gas yang memerangkap haba. Peratusan itu menyamai kesan yang disumbangkan oleh sektor pengangkutan.

Menteri Alam Sekitar Brazil Edson Duarte dalam satu kenyataan berkata, pembalakan haram adalah punca utama pencerobohan hutan Amazon. Oleh itu, beliau menyeru kerajaan meningkatkan dasar berkaitan kawasan hutannya.

Negeri Pará dan Mato Grosso adalah penyumbang terbesar peningkatan kawasan hutan yang diceroboh.

Mato Grosso merupakan pengeluar bijirin tertinggi di Brazil, mewakili industri kacang soya yang semakin mendapat sambutan.

Para saintis berpendapat, Amazon adalah salah satu daripada perlindungan terbaik alam semula jadi terhadap pemanasan global, kerana kemampuannya menyerap gas karbon. Hutan tersebut juga kaya dengan kepelbagaian biologi, dan menjadi habitat untuk berbilion-bilion spesies yang masih belum dikaji.