Indonesia disifatkan "kurang bersedia" menghadapi ancaman wabak COVID-19.

Penyelidik Human Rights Watch, Andreas Harsono berpendapat agak sukar mempertahankan Indonesia yang dianggap sebagai bom jangka bagi rantau Asia Tenggara wabak berkenaan.

"Indonesia mempunyai kadar ujian saringan yang rendah, malah kami juga kekurangan bekalan sut dan topeng perlindungan.

"Lebih daripada 30 doktor, jururawat dan petugas perubatan yang telah meninggal dunia sejak lima minggu lalu.

"Kami juga mempunyai jumlah ventilator yang terhad untuk kegunaan hospital.

"Terdapat 661 buah hospital awam di Indonesia, hanya separuh daripadanya yang mempunyai bekalan ventilator," katanya ketika ditemu bual dalam program Consider This di Astro AWANI, pada Rabu.

Bagaimanapun, Andreas berkata ini bukan masanya untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana usaha mengekang wabak ini hanya akan menampakkan hasil dengan kerjasama semua pihak.

"Sekarang ini bukan lagi tentang sempadan tetapi kerjasama yang kita boleh lakukan.

"Penting untuk kita meningkatkan lagi kerjasama antarabangsa kerana masalah ini bukan sahaja di Malaysia atau Indonesia, tetapi masalah global," tambahnya.




Sebelum ini, seorang pakar pediatrik, Dr Musa Nordin menerusi program Agenda AWANI pernah meluahkan kebimbangan bahawa Indonesia boleh menjadi bom jangka susulan jumlah kes COVID-19 yang tinggi dicatatkan negara itu.

"Indonesia seperti bom jangka. Kita perlu jaga sempadan kita, jika tidak ia bakal membentuk kluster jangkitan baharu," katanya.

Indonesia setakat ini mencatat 2,956 kes dengan 240 kematian, paling tinggi di Asia Tenggara.