Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Harimau Malaya di New York positif COVID-19

Harimau Malaya di New York positif COVID-19
Nadia, 4 tahun, disahkan positif koronavirus selepas mengalami simptom batuk kering dan kurang selera makan. Foto - Wildlife Conservation Society
SEEKOR harimau Malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan, lapor ketua veterinari zoo tersebut pada Ahad.

Nadia, 4 tahun, berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti koronavirus daripada manusia.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.

Kata ketua veterinari Zoo Bronx, Paul Calle kepada Reuters, kes Nadia adalah unik kerana ia jatuh sakit selepas terdedah kepada seorang kakitangan yang positif, namun tidak menunjukkan simptom.
“Ini kali pertama kami tahu mengenai kes jangkitan manusia ke haiwan dan menjadikan haiwan itu jatuh sakit,” kata Paul.

Tambah beliau, pihak zoo akan kongsikan kajian mereka bersama zoo dan institusi lain: “Kami harap akan dapat pemahaman yang lebih jelas.”
Walaupun tiga harimau lain dan tiga singa turut mengalami batuk kering, namun hanya Nadia yang menjalani ujian COVID-19 kerana ia mengalami simptom paling teruk dan sudah mula hilang selera makan.

Tambah Paul, mereka mengelak daripada menguji harimau dan singa lain kerana tidak mahu meletakkan mereka bawah anestesia.

“Harimau dan singa lain tidak begitu kritikal,” katanya.


Nadia menjalani ujian X-ray, ultrabunyi dan ujian darah untuk memahami penyakitnya sebelum menjalani ujian COVID-19 apabila melihat kepada situasi parah di bandar New York yang menjadi pusat penularan koronavirus di Amerika Syarikat.

Harimau tersebut mula menunjukkan simptom pada 27 Mac. Sehingga kini, Zoo Bronx masih ditutup sejak pertengahan Mac.

Kajian setakat ini bagaimanapun masih tiada bukti menunjukkan COVID-19 boleh berjangkit dari haiwan ke manusia.