Bekas penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein, mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan baharu berkaitan dakwaan serangan seksual yang dihadapinya sebelum ini.

Pengakuan dibuat di sebuah mahkamah di Manhattan pada Isnin.

Menurut pihak pendakwaan, pertuduhan baharu itu penting bagi membolehkan pelakon siri Sopranos, Annabella Sciorra, 59 tahun, memberi keterangannya di mahkamah.

Sciorra terdahulu mendakwa Weinstein, 67 tahun, pernah merogolnya pada 1993.

Pihak pembelaan menyifatkan pertuduhan baharu itu sebagai satu langkah yang boleh melambatkan perbicaraan kes.

Weinstein sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berkaitan rogol dan serangan seksual membabitkan dua wanita yang didakwa berlaku pada 2006 dan 2013.

Perbicaraan kesnya sepatutnya bermula 9 September tetapi telah ditunda ke Januari depan.

Jika sabit kesalahan, Weinstein boleh dihukum penjara seumur hidup.

Sementara itu, para peguamnya juga sedang berusaha untuk memindahkan perbicaraan kesnya dari New York City ke daerah Suffolk atau Albany.