Menjelang musim cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina, pastinya ramai yang merancang untuk bercuti sama ada dalam mahupun luar negara.

Bangkok, Hatyai dan beberapa lagi pusat tumpuan pelancong di Thailand menjadi antara destinasi pilihan.

Namun, ketika ini, anda perlu sentiasa berwaspada dalam merancang perjalanan anda ke selatan Thailand.

Bukan hanya disebabkan kes keganasan seperti letupan yang baru berlaku di Yala, malah ia melibatkan wabak chikungunya.

Ia apabila, sepanjang minggu lalu, 121 pesakit direkodkan mengalami gejala wabak chikungunya di Wilayah Sirin.

Antara wilayah yang turut dijangkiti wabak ini adalah pusat pelancongan popular, Hatyai di Wilayah Songkhla.

Memetik laporan Bangkok Post, Ketua Kesihatan Awam Daerah Sikhoraphum, Somsak Boontor mengesahkan wabak itu berkait dengan pesakit yang membawa wabak tersebut dari Bangkok lalu merebak dengan pantas.

Kementerian Kesihatan menggariskan beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mencegah wabak Chikungunya termasuk:

1. Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu;

2. Menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah;

3. Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutama apabila berada di luar rumah;

4. Menggunakan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan;

5. Memasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki kediaman; dan

6. Elakkan dari melawat kawasan wabak Chikungunya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, antara gejala Chikungunya adalah demam secara tiba-tiba dan sering bersekali dengan sakit sendi.

Kesakitan sendi tersebut mampu melemahkan anggota badan dalam tempoh beberapa hari hingga berbulan lamanya.