STEPHEN Hawking cukup hebat orangnya.

Tidak pernah mengalah meskipun berdepan penyakit yang boleh mengundang maut.

Bagi Hawking yang nama sebenarnya Stephen William Hawking selagi nyawa melekat di badan dia akan terus menjelajah dunia ilmu merentasi alam semesta.

Dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, Britain. Hawking didiagnos menghidap Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) pada 1963 ketika berusia 21 tahun.

Biasanya, mereka yang menghidap penyakit ini hanya mampu bertahan 2 hingga 5 tahun namun tidak bagi Hawking. Ahli fizik terkemuka ini mampu bertahan hingga 55 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

ALS yang dikenali juga sebagai penyakit Lou Gehrig atau penyakit motor neuron (MND) adalah penyakit yang mempengaruhi sel-sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang.

Ia menyebabkan kematian neuron motorik, yang mengakibatkan otak hilang kemampuan untuk mengendalikan gerakan otot.

Ketika otot dalam diafragma dan dinding dada gagal berfungsi, ia akan hilang kemampuan untuk bernafas.

Daripada 10 kes ALS, satu adalah kerana genetik, 90 peratus lagi masih menjadi misteri.

Gejala awal ALS mungkin sering diabaikan. Antaranya seperti kulit berkedut kekejangan, lemah otot lengan atau kaki, kesukaran bertutur dan kesulitan mengunyah atau menelan.

Gejala lanjutan seperti masalah pernafasan dan kelumpuhan. Kematian biasanya disebabkan kegagalan pada otot-otot pernafasan.

ALS tidak mempengaruhi kemampuan seseorang untuk melihat, mencium, merasakan, mendengar, atau mengenali sentuhan.

BACA: Saintis terkemuka Stephen Hawking meninggal dunia

Sehingga akhir hayatnya Hawking menghabiskan kehidupannya di kerusi roda.Mengapa beliau bertahan cukup lama? Mungkin kerana fikirannya yang tajam selain pemikirannya yang positif.